Sajat Dan Identiti


Pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Nur Sajat Kamaruzzaman petang tadi menemukan jalan penyelesaian bagi merungkai persoalan yang dikaitkan dengan identiti usahawan kosmetik itu.

"Alhamdulillah. Kami telah menemui jalan penyelesaian. Insya-Allah semoga semuanya berjalan lancar.

"Jalan penyelesaian ini bagi mendapatkan pengesahan identiti sebenar Sajat," kata Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof, seperti dilapor Mstar Online.

Pertemuan yang berlangsung di Wisma Nur Sajat di Shah Alam itu dikatakan turut dihadiri kedua ibu bapa Sajat.

Selasa lalu, Sajat menyatakan kesediaan berjumpa Jakim berhubung isu berbangkit yang dikaitkan dengan identitinya yang menjadi bualan masyarakat.

Cadangan perjumpaan itu dibuat Mohd Izwan melalui Facebook yang juga mendapat persetujuan daripada Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha.

Sementara itu, Sajat melalui akaun Instagram turut mengesahkan pertemuannya dengan wakil Jakim menemukan jalan penyelesaian.

"Alhamdulillah, hari ini saya terima kedatangan ziarah daripada wakil Jakim.

"Insya-Allah ada jalan penyelesaiannya, doakan yang terbaik ya," katanya.

Persoalan mengenai identiti Sajat menjadi perbualan di laman-laman sosial dan menyebabkan keresahan beberapa pihak.

Semalam, blogger kontroversi Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris memuat naik klip video yang memaparkan dia membuat panggilan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung Sajat.

Dalam rakaman video yang dimuatnaik di Facebooknya, Azri meminta Jakim mengambil tindakan terhadap Sajat kerana mendakwa kelakuannya akan memberi pengaruh buruk kepada masyarakat.

Susulan itu, Sajat hari ini memuat naik tangkap layar di Instagramnya mendakwa Azri berbuat demikian kerana sakit hati mesej-mesejnya tidak dilayan selain ingin mempromosi pusat gim yang diusahakannya.

“Disebabkan saya tak layan beliau, saya dihina, dicaci, difitnah. Dibuat aduan kerana beliau sakit hati dengan saya... terbukti dia ini saiko orangnya.

“Nak berniaga buatlah cara baik. Bukan viralkan orang yang awak sendiri tak kenal untuk kaut keuntungan perniagaan pembukaan gym baru awak..

Saya bangga kalau ada anak Melayu berjaya dan mendirikan perniagaannya tersendiri. Tapi bukan cara macam ini untuk mempopulariti perniagaan awak. So behave Encik Azri. Saya harap awak tak ulangi perkara yang sama. Cukup-cukuplah nak kena kan orang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azri hari ini memuat naik klip video di Facebook dengan keterangan "Operasi Banteras Muhammad Sajjad @ Sajat Habis-habisan!!!".

Dalam klip video berdurasi kira-kira lapan minit itu, Papagomo menafikan 'serangan' beliau terhadap Sajat bermotif dengki atau bertujuan mempromosi gim.

Sebaliknya, kata Papagomo, dia marah kerana menurutnya Sajat menipu dan mencabar sajat membuktikan jantina.

"Saya marah kerana awak mengambil kesempatan atas perniagaan awak, menipu orang Melayu terutamanya orang perempuan bahawa awak adalah seorang wanita.

"Sedangkan Sajat adalah seorang jantan, seorang pondan, seorang nyah, yang telah dibuktikan oleh ramai pihak.

"Malah saya ingin mencabar Sajat berlaku jujur untuk mengatakan apakah jantina anda sebenarnya?" katanya.


Comments