Wednesday, 24 January 2018

Orang Johor Lebih Minat UMNO Dari Parti Lain

Kajian baru-baru ini oleh Politweet mendapati pengguna Facebook di Johor mempunyai minat yang lebih tinggi untuk Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbanding pembangkang atau Tun Dr Mahathir Mohamad.

Daripada 510,000 orang ditinjau itu, 460,000 pengguna Facebook mencatatkan minat terhadap Umno, dengan lebih separuh daripada mereka (270,000) adalah lelaki.

PKR dan DAP hanya mencatatkan satu pertiga daripada jumlah peminat Umno, dengan masing-masing dipilih oleh 180,000 dan 160,000 pengguna.




Membandingkan PAS dengan Umno, parti Islam itu hanya menarik 10 peratus (46,000 pengguna) daripada apa yang diterima oleh Umno.

BERSATU tidak dimasukkan dalam tinjauan itu.

Kajian itu juga mendapati bahawa pengguna Facebook di Johor lebih berminat terhadap Najib daripada Pengerusi Pakatan Harapan Mahathir.

Berbanding dengan 460,000 pengguna yang berminat dengan perdana menteri, bekas perdana menteri itu hanya berjaya menarik 180,000 orang.

Menariknya, pengguna wanita lebih tertarik terhadap Najib (180,000) daripada yang mereka yang berminat dengan Mahathir (57,000).

Politweet mengira keputusan ini berdasarkan aktiviti di rangkaian laman web sosial popular termasuk suka halaman, hantaran dan kongsi.

Konflik Pakatan Harapan Di Kelantan


Entah betul atau tidak, satu senarai didakwa sebagai keputusan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan membabitkan Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi tular sejak semalam.

Maklumat itu didapati tersebar di laman media sosial sekali gus mewujudkan perdebatan di kalangan penyokong pelbagai parti.

Dalam senarai berkenaan, Parti Amanah Negara (AMANAH) dikatakan bakal bertanding di 24 kerusi DUN, selain lima parlimen.

PKR yang sebelum ini berhasrat untuk bertanding di 15 kerusi DUN didakwa hanya mendapat lapan, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula diberikan 12 kerusi.

Selain itu, DAP turut disenaraikan bertanding di satu kerusi, iaitu DUN Kota Lama.

Bagaimanapun, senarai itu didakwa palsu dan sengaja direka pihak-pihak tertentu.

Pengerusi HARAPAN Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata senarai yang disebarkan itu tidak benar sama sekali.

"Ini bukan senarai kita, mungkin direka, " katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Perkara itu turut dinafikan Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai agihan kerusi di peringkat DUN Kelantan.

"HARAPAN Kelantan juga belum bermesyuarat untuk pembahagian kerusi DUN," katanya.

Difahamkan, HARAPAN Kelantan bakal menyelesaikan pembahagian kerusi di negeri itu seawal-awalnya penghujung bulan ini atau selewat-lewatnya Februari depan.

Terdahulu, HARAPAN turut melantik penyelaras di setiap parlimen dan DUN yang disifatkan sebagai bayangan calon oleh pemerhati politik tempatan.

64 Juta Set Data Peribadi Telah Dicuri


PKR melahirkan kebimbangan terhadap kebocoran berterusan maklumat peribadi di Internet, terbaru berkaitan data 220,000 penderma organ seperti didedahkan sebuah portal teknologi semalam.

“Kejadian ini amat merisaukan kerana ia melibatkan maklumat kesihatan dan hubungan peribadi penderma organ,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Lowyat semalam melaporkan mereka boleh mengesahkan fail-fail melibatkan maklumat terperinci penderma organ bocor di atas talian sejak September 2016 lagi, termasuk nombor kad pengenalan, umur, jenis darah, nombor telefon dan e-mel.

Dalam kenyataan hari ini, Fahmi berkata kebocokan kali ini adalah yang keempat selepas melibatkan data syarikat telekomunikasi (46.2 juta data peribadi), laman web pekerjaan (17 juta data peribadi), dan beberapa badan perubatan (80,000 data peribadi).

“Ini bermaksud hampir 64 juta set data peribadi telah dicuri di Malaysia yang kini diketahui umum, itu pun kerana ada pihak seperti Lowyat.net yang melaporkan.

“Kita tidak tahu apakah ada lagi sistem atau pangkalan data terutama yang diurus badan atau agensi kerajaan yang telah dibolosi.”

Kerajaan Benarkan Tanam Ketum?


Setelah perbahasan bertahun-tahun, pekebun kecil mungkin boleh mengusahakan tanaman ketum secara komersial untuk dieksport tidak lama lagi.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata perbincangannya dengan pihak berkaitan sudah sampai ke peringkat akhir dan cadangan itu dijangka dapat direalisasikan lagi “sebulan dua”.

Zahidi berkata Risda telah berbincang dengan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), polis bahagian narkotik dan Kementerian Kesihatan.

"Kami juga akan adakan pertemuan dalam satu atau dua bulan ini, kita akan adakan perbincangan dengan anggota parlimen dan senator Dewan Negara.

"Kerajaan akan kutip cukai siapa yang tanam.

"Contohnya, pendaftaran atau cukai bagi setiap ekar kita ambil RM150 dan nilai keuntungan ketum itu kita bagi kepada agensi dadah (berkaitan) untuk membuat tangkapan dan kawalan," kata beliau yang menambah cadangan itu sudah di peringkat akhir pelaksanaannya.

"Kita akan buat jawatankuasa khas.

"Dah peringkat akhir iaitu di peringkat pengeluaran lesen oleh Pusat Racun Negara dan jika tidak ada halangan kita hanya tunggu mungkin dalam sebulan, dua ini," kata beliau.

'Tak perlu perubahan akta'

Dalam wawancara khas berkaitan isu ketum dengan Malaysiakini minggu lepas, Zahidi berkata kelulusan penanaman ketum tidak memerlukan perubahan akta di parlimen.

"Kelulusan daripada Pusat Racun Negara sahaja.

"Kalau kerajaan benarkan kita akan dapat lebih kurang nilai eksport RM10 juta sebulan dan ini melibatkan cukai yang kerajaan kutip, pendapatan orang kampung," katanya.

Zahidi berkata Risda mengambil kira manfaat perubatan dan ekonomi daripada penanaman ketum tetapi menolak penyalahgunaan tumbuhan itu.

Anggota parlimen Padang Besar itu juga berkata telah wujud permintaan ketum untuk digunakan sebagai dadah gantian heroin dari Amerika Syarikat dan Eropah.

Malah, katanya, pihak luar juga terlibat dalam kajian bersama yang diterajui oleh Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah menelan belanja jutaan ringgit.

"Sumber kewangan bukan kerajaan Malaysia. Tetapi gaji mereka semua (penyelidik universiti) kerajaan Malaysia bagi.

“Cumanya (dana) tambahan untuk membuat kajian ini dari Universiti Florida, Amerika Syarikat, kalau tak silap saya, dan yang terlibat itu adalah pakar dadah antarabangsa," katanya.

Kalimantan sudah kaya-raya

Sementara itu, Zahidi berkata Risda berharap penanaman ketum secara komersial itu bakal membantu menambah pendapatan pekebun kecil yang berhadapan masalah kos sara hidup ketika harga getah jatuh.

"Kita ada bantuan one-off RM500 kepada pekebun kecil ini (sewaktu harga getah jatuh) yang melibatkan peruntukan sejumlah RM137 juta, duit Risda.

"Sekurang-kurangnya daripada RM500 dapatlah tambahan (bantuan pekebun kecil getah) ke RM1,000 sebulan," katanya.

Di negeri jiran seperti Indonesia, katanya, pihak terlibat dalam penanaman ketum telah pun membantu mereka keluar dari garis kemiskinan.

"Sekarang ini nilai eksport yang kita dapat tahu daripada Kalimantan adalah lebih kurang RM5 juta sebulan dan mereka yang terlibat pun dah jadi kaya-raya," katanya.

Memetik kajian Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, Universiti Sains Malaysia (CDR), Zahidi berkata ketum-ketum di bahagian utara tanah air – dari Perak sampai ke Perlis – dikenal pasti berkualiti tinggi dan boleh dijual dengan harga yang mahal.

"Ini yang terbaik dan ada 17 spesis yang terbaik.

"Dan ini membuatkan Amerika Syarikat nak beli...” katanya.

'Labur semula untung untuk bendung salah guna'

Mengulas isu penyalahgunaan ketum, Zahidi mencadangkan keuntungan hasil eksport ketum boleh dilaburkan semula untuk mengawal penyalahgunaan di negara ini.

"Mekanisme itu dah ada.

"Contohnya kalau orang itu ditangkap kita akan buat pemulihan kepada mereka dengan memberikan motivasi, memberikan peluang yang ada kepada mereka kerana mereka ini aset negara.

"Kita juga akan buat kursus yang melibatkan NGO tentang masa depan mereka kerana tidak ada guna kita tangkap dan penjarakan mereka tetapi adalah lebih baik untuk kita beri semangat kepada mereka," katanya.

Menurut Zahidi lagi, sistem yang dicadangkan beliau itu bukan sesuatu yang mustahil jika penanaman ketum mendapat kelulusan kerajaan.

"Kita akan buat lebih daripada itu dengan peruntukan kewangan yang akan kita sediakan daripada hasil keuntungan jualan ketum itu nanti," katanya.

Tuesday, 23 January 2018

Bukan Kubu PAS


Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Begitu sambutan PKR terhadap PAS yang sekali lagi mengumumkan mahu bertanding tiga penjuru di Permatang Pauh, kubu kuat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Itu hak PAS untuk bertanding, kita hormati keputusan dia. Dan kita bersedia untuk berdepan dengan PAS.

"Kita serahkan pada pengundi untuk buat penilaian tapi saya rasa pengundi Permatang Pauh bijak buat keputusan dan mereka dah lama beri sokongan kuat pada PKR.

"Kita yakin pengundi Permatang Pauh akan terus beri sokongan pada PKR," kata pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Othman.

Semalam, akhbar Umno Utusan Malaysia melaporkan, PAS menegaskan akan meletakkan calon di Permatang Pauh pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusof keputusan itu dibuat kerana parlimen berkenaan merupakan kubu kuat PAS sebelum ia dipinjamkan kepada PKR.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ni, Mansor berkata mereka yakin pengundi akan tetap memberi sokongan kepada parti itu.

Mansor turut memberitahu, parlimen Permatang Pauh tidak pernah menjadi kubu PAS.

"Permatang Pauh kubu tradisi Umno sebelum ini. Dulu PAS pernah menang sekali saja, selepas itu Umno dan kemudian PKR," ujarnya.

Sedia tiga penjuru

Sementara itu, bagi Ketua PKR cabang Permatang Pauh Amir Ghazali berkata, akar umbi di kawasan berkenaan telah mula melakukan gerak kerja bagi menghadapi pertandingan tiga penjuru.

"Gerak kerja kita sekarang ke arah pilihan raya umum dan ke arah pertandingan tiga penjuru. Kita tak boleh buat apa hanya akan kukuhkan Pakatan Harapan dan bersedia berdepan dengan BN dan PAS.

"Rakyat di Permatang Pauh bijak pandai dan mereka tahu siapa sebenarnya yang boleh tadbir di Permatang Pauh," kata Amir.

PKR menawan Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya umum sejak 1999.

Pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, PKR meletakkan Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon dan pada 2008, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali bertanding.

Kali terakhir PAS bertanding di Permatang Pauh ialah pada 1995 dalam pertandingan tiga penjuru bersama BN dan DAP. Namun PAS tewas dengan majoriti 23,515 kepada Anwar yang ketika itu mewakili BN.

Hanya sekali sahaja PAS memenangi kerusi Permatang Pauh iaitu pada pilihan raya umum 1978.