Mahathir Mahu Parlimen Langkawi


Calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pengundi di Langkawi menolak Umno dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Gesaan itu dibuat meskipun Langkawi merupakan kubu kuat Umno yang tidak pernah ditembusi pembangkang sejak Merdeka.

“Masa sudah sampai untuk kita tolak Umno, tolak sampai mereka tersungkur,” kata Dr Mahathir dalam satu ceramah di Langkawi semalam.

Langkawi merupakan salah satu kerusi yang dikatakan bakal ditandingi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

Dr Mahathir sering dikaitkan sebagai individu yang bertanggungjawab membangunkan Langkawi dan menjadikannya sebagai pusat tumpuan pelancong ketika menjadi perdana menteri.

Kerusi lain yang dikaitkan dengan Dr Mahathir adalah bekas parlimennya di Kubang Pasu selain di Putrajaya.

Dr Mahathir berkata pengundi Langkawi dikenali dengan kesetiaan mereka kepada Umno.

“Itu adalah tradisi orang Langkawi, mereka setia dan bantu Umno.

“Sekarang kita lihat balasan Umno kepada Langkawi, konon nak tarik taraf bebas cukai.

“(Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak berjanji beri RM5 bilion kepada Langkawi, tapi satu sen pun tak dapat,” katanya.

Menurut Dr Mahathir lagi, PAS tidak ada peluang untuk menang di Langkawi.

Langkawi kini dipegang oleh Datuk Nawawi Ahmad yang memenangi kerusi itu pada 2013 dengan 11,861 majoriti undi selepas meraih 67 peratus keseluruhan undi.

Comments