Krisis Bazli-Najdi Kumpulan UNIC


KUALA LUMPUR: Krisis dua anggota kumpulan nasyid Unic, Najdi dan Bazli berakhir apabila masing-masing bermaafan dan sepakat muncul di pentas akhir Anugerah Nasyid (AN) 2017, malam esok.

Najdi atau nama sebenarnya, Wan Najdi Wan Mohd Noh, 26, mengaku berperangai 'kebudak-budakkan' hingga mengumumkan menarik diri daripada kumpulan itu.

"Saya sedar saya salah... Saya ibarat budak-budak berperangai macam itu. Apa yang pasti, esok saya akan beraksi dengan Bazli dan Fakhrul di pentas AN 2017," katanya kepada BH Online.

Najdi berkata, dia berjumpa Bazli, malam tadi."Pada mulanya, seorang lagi anggota Unic, Fakhrul datang ke rumah untuk memujuk.

"Fakhrul beritahu selesaikan dulu perjuangan di pentas AN 2017, perkara lain boleh dibawa berbincang selepas itu. Kemudian saya dan Fakhrul berjumpa Bazli di Shah Alam.

"Pada pertemuan itu, kami sama-sama minta maaf. Memang janggal rasanya, tapi biasalah, kami manusia biasa yang tidak lepas daripada berbuat silap," katanya.

Ditanya apakah dia akan terus bersama Unic, Najdi bagaimanapun belum sedia mengesahkannya.

"Malam tadi, ada benda terlerai... Ada yang masih belum selesai. Jadi perkara lain itu, baik saya dan Bazli tolak ke tepi dulu.

"Saya mengharapkan doa yang baik-baik daripada peminat. Semoga apa yang mereka harapkan untuk melihat saya kekal dengan Unic akan dimakbulkan... Insya-Allah," katanya.

Comments