Tunjuk Kemaluan Dalam LRT

 
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun dipercayai gila seks ditahan polis selepas menunjukkan kemaluannya kepada penumpang lain di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT), KLCC, di sini, kelmarin.

Sehari sebelum ditahan, lelaki terbabit dikatakan meraba seorang penumpang wanita berusia 26 tahun sehingga menyebabkan berlaku kekecohan dalam pengangkutan awam berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan suspek meneruskan rutin peliknya itu kelmarin di kawasan sama memakan diri apabila dia ditahan dua anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurut sumber, suspek ditahan ketika menunjukkan kemaluannya kepada penumpang lain dalam LRT itu.

“Biarpun berlaku sedikit pergelutan, suspek berjaya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menceritakan semula kejadian yang berlaku Isnin lalu, sumber polis berkata, mangsa yang menaiki LRT dari Gombak mendakwa diraba seorang lelaki warga asing ketika dalam perjalanan menuju ke KLCC.

“Lelaki terbabit dikatakan duduk di sebelah mangsa dan melakukan perbuatan aneh dengan menggerakkan badannya namun tidak dipedulikan mangsa.

“Suspek yang berang dengan keadaan itu kemudian meraba paha wanita berkenaan. Tindakan suspek menyebabkan mangsa berang sebelum memarahinya.

Berang dengan keadaan itu selain bimbang kejadian sama berulang, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini.

Comments