Maksiat Ikut Kadar Jam





GEORGETOWN: Hanyut dengan godaan asmara, tindakan sepasang kekasih menyewa bilik sebuah hotel di Jalan Tanjung Tokong, di sini, mengikut kadar jam tanpa mendaftar masuk bagi mengelak perbuatan mereka dikesan, terbongkar apabila ditahan kerana disyaki berkhalwat, semalam.

Pasangan itu ditahan dalam operasi cegah maksiat jam 3 pagi oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan.

Pemeriksaan mendapati mereka berusia 30-an dan lelaki itu warga tempatan serta berkahwin manakala pasangannya warga Indonesia.

Khairul Azman berkata, pasangan itu dipercayai menyewa bilik hotel untuk melakukan maksiat tanpa mendaftar. Menurutnya, pasangan itu kemudian dimaklumkan mengenai kesalahan mereka dan ditahan bagi siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Comments