Tergugatkah Utusan dan Berita Harian Jika Akhbar Ini...

Dalam debaran menunggu kehadiran akhbar bebas Utusan Rakyat, presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari mengumumkan satu lagi 'projek' akhbar digitalnya Harian Malaysia.

Menurut Hata, akhbar berbayar 24 halaman itu dijadual diterbitkan bulan depan dan boleh dilayari di laman webnya http://www.harianmalaysia.my.

"Sebagai wartawan, saya perlukan platform untuk menulis. Ini memandangkan Utusan Rakyat belum pasti lagi bila akan terbit kerana masih menunggu permit (daripada Kementerian Dalam Negeri," kata Hata (berbaju biru).

Hata yang bertindak sebagai penasihat editorial Harian Malaysia, mengumumkan kemunculan akhbar yang memfokuskan isu-isu masyarakat itu dalam laman Facebook beliau minggu lalu.

Wartawan kanan - yang sedang berdepan dengan siasatan dalaman majikannya Utusan Malaysia - bercita-cita menjadikan Harian Malaysia sebagai "jawapan kepada kebebasan media di Malaysia".

Akhbar Utusan Rakyat sebagai akhbar bercetak yang permitnya dipohon oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pada 4 Mac lalu - yang menamakan Hata sebagai ketua pengarang - setakat ini masih belum jelas statusnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hata menjelaskan, buat permulaan, Harian Malaysia akan diterbitkan seminggu sekali dan meliputi semua isu kecuali berita dunia dan perniagaan.

Untuk membacanya, pelayar dikenakan bayaran langganan sebanyak RM120 setahun atau RM60 untuk sebulan, bersamaan RM10 untuk sebulan.

Hata masih enggan mendedahkan lanjut berhubung pemilik dan pasukan editorialnya buat masa ini kerana dia masih dalam peringkat perbincangan.

Berdasar naskhah contoh yang dimuatkan di internet, Harian Malaysia mengupas tentang kemampuan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membayar dividen sebanyak 6 peratus sebelum ini.

Comments