UMNO Terengganu Bergolak


PAS Terengganu mendedahkan Umno di negeri itu sekali lagi bergolak berikutan hasrat bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said yang dikatakan mahu bertanding di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan raya Umum ke-14 akan datang.

Hasrat Ahmad Said pengerusi Umno Kemaman dikatakan mendapat tentangan kepimpinan Umno negeri yang mahu beliau mengundurkan diri.

ADUN Cukai, Hanafiah Mat berkata, pertarungan Umno Terengganu itu membabitkan kem Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan penyokongnya.

"Hari ini, Umno Terengganu tengah berlawan (antara) Umno Ahmad Razif dan Umno Ahmad Said.

“Di Kemaman ini, Umno kem Ahmad Said sudah beritahu pada semua orang bahawa calon pilihan raya akan datang daripada beliau sendiri.

"Kononnya dah dapat pun lampu hijau daripada perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak), Ahmad Said akan bertanding di Parlimen Kemaman dan apabila dia bertanding di Parlimen, DUN-DUN ini anak-anak buah dia belaka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan mutakhir Umno Kemaman yang dikatakan bergolak apabila dua kumpulan menamakan calon pilihan raya masing-masing, lapor Harakahdaily, hari ini.

Menurut Hanafiah yang juga penolong setiausaha PAS Terengganu, apabila beliau sendiri bertanyakan hal itu kepada orang kuat menteri besar, calon-calon bahagian Kemanan dikatakan adalah pilihan Ahmad Razif sendiri.

"Pertembungan calon dari dua ‘kem’ Umno ini tentunya menarik menjelang pilihan raya ini, banyak sumber kita di kalangan orang kuat Umno Kemaman mendedahkan pekara ini, tengoklah kesudahan nanti," kata Hanafiah yang dipetik akhbar itu.

Beliau yang juga penolong setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu berkata, pergolakan antara dua ‘kem’ ini akan memberi kebaikan kepada parti PASbagi meraih sokongan pengundi.

Sebagai rekod, Ahmad Said adalah ADUN Kijal yang juga ketua Umno Kemaman, manakala Ahmad Razif adalah ADUN Seberang Takir merangkap pengerusi Umno Terengganu. Parlimen Kemaman kini diwakili oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Umno Terengganu berkaitan dakwaan itu.


M/kini

Comments