Tiada Gangguan Internet PRU14

HULU TERENGGANU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia memberi jaminan tiada gangguan rangkaian telefon mahu pun Internet di seluruh 8,245 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sepanjang perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Jailani Johari berkata, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersiap sedia dalam memastikan jaringan Internet di setiap PDM tersebut berada pada tahap terbaik. 

“Menjelang persediaan PRU14, saya telah mengarahkan setiap PDM terutamanya 52 pusat di daerah Hulu Terengganu dan 566 di seluruh Terengganu supaya capaian Internetnya berada pada tahap kesiap siagaan. 

“Saya juga mengarahkan SKMM untuk pergi ke setiap PDM di seluruh negara bagi melihat persediaan liputan Internet kerana ia antara perkara penting ketika menghadapi PRU,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jalinan Kasih Tautan Budi Bersama Komuniti Orang Asli Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu hari ini. 

Pada majlis tersebut, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu menjalankan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan yang jarang diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti pembacaan dengan menempatkan perpustakaan bergerak.

Comments