Ringgit Terus Meningkat

Ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar US berikutan prospek ekonomi negara yang positif, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau mengulas unjuran ahli ekonomi bahawa unit tempatan akan bergerak kepada nilai saksama antara 3.50 dan 3.70 berbanding dolar US.

"Saya fikir terdapat banyak lagi ruang untuk penambahbaikan. Kita mempunyai eksport dan pelaburan langsung asing yang kukuh, dengan harga minyak yang bertambah baik, serta pasaran modal kita.

"Semua prospek positif ini akan memberi manfaat kepada kita dari segi ekonomi dan juga mata wang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai pelaburan hartanah antara Titijaya Land Bhd (Titijaya) dan Tokyu Land Corporation (TLC) di ibunegara hari ini.

Ringgit mengakhiri minggu ini dengan lebih kukuh berbanding dolar US. Sehingga pada 6 petang Jumaat, ia diniagakan pada 3.9700/9730 berbanding 3.9950/9000 pada minggu sebelumnya.

Johari berkata trend semasa ringgit mencerminkan prospek ekonomi Malaysia yang positif dan ia boleh terus meningkat, selain membayangkan ahli ekonomi mungkin silap, walaupun meletakkan had kepada pengukuhannya.

"Tiada siapa yang dapat (dengan tepat) menjangka prestasi mata wang. Bagaimanapun, apa yang perlu kita lihat adalah asas ekonomi negara ini. Prospek positif bagi 2018 tersedia bagi Malaysia.

"Kepada paras mana ringgit boleh terus meningkat, saya tidak boleh membuat spekulasi. Pasaran akan menentukannya. Ia boleh meningkat lagi. Negara perlu memastikan ia terus mempunyai persekitaran ekonomi dan ekosistem serta kestabilan politik yang baik, berikutan ini antara faktor yang dilihat pelabur," katanya.

Johari juga berkata eksport akan terus kompetitif walaupun ringgit kukuh dan dasar semasa Bank Negara Malaysia ke atas unit tempatan mencukupi dan amat jelas.

Beliau menolak tanggapan bahawa pengukuhan semasa ringgit mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum ke-14 yang akan datang, menyatakan, tiada campur tangan kerajaan untuk memberi kesan kepada prestasi semasanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Johari berkata beliau berharap pakatan antara Titijaya dan TLC akan menandakan kesinambungan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Jepun selama 60 tahun.

Sehingga suku ketiga tahun lepas, Jepun menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia selepas China, Singapura dan Amerika Syarikat, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM103.1 bilion.


Comments