PAS Bertanding Lebih 130 Kerusi


Pas dijangka bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Penerangan Pas pusat, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, parti itu kini sedang menggerakkan kebangkitan Islam dan kesedaran rakyat ke arah membina 'Negara Sejahtera Bersama Islam'."

"PAS telah hasilkan Dokumen Hijau, Wawasan Induk Negara Sejahtera, Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta Manifesto Pas yang bakal dilancarkan tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook parti itu, hari ini.

Nasrudin berkata, Pas juga tidak ketinggalan daripada memiliki tokoh-tokoh yang berkelayakan untuk dipilih sebagai anggota Kabinet mahupun perdana menteri, namun parti itu melihat masih terlalu awal untuk menamakan tokoh-tokoh tersebut.

"Keutamaan dan perhatian serius yang diberikan oleh PAS saat ini ialah rencana untuk memenangi pilihan raya dan tokoh-tokoh PAS ini akan dikemukakan sebagai calon pilihan raya bersama manifesto yang akan diumumkan kelak.

"Pas juga telah kemukakan jauh lebih awal untuk menghargai kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh negara dalam pembentukan kerajaan apabila konsep Kerajaan Teknorat diutarakan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku presiden Pas sebelum ini. Tentu sahaja pemilihan perdana menteri yang akan disokong dan diangkat oleh PAS ialah tokoh yang memenuhi piawaian kepimpinan dalam Islam," katanya.

Menyentuh pelantikan perdana menteri, Nasrudin juga berkata Pas berpendirian adalah tidak wajar bagi sesiapa untuk mendahului atau memperkecilkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

"Ini kerana Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara baginda dalam melantik seorang perdana menteri. Begitu juga Perkara 43 (2) (a) yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai perdana menteri 'seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

"Adalah menjadi suatu ketidakwajaran memberikan kata dua kepada Yang di-Pertuan Agong untuk sama ada melantik si polan atau si polan lain menjadi perdana menteri," katanya.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Pas untuk mendedahkan calon perdana menteri mereka.

Pakatan Harapan pada 7 Jan lalu mengumumkan Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai calon perdana menteri sekiranya menang pada PRU14 manakala Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dinamakan sebagai calon timbalan perdana menteri. 

BERNAMA

Comments