Had PM 2 Penggal - HARAPAN


Pakatan Harapan (HARAPAN) bercadang mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada hanya dua penggal selain mengasingkan jawatan kenteri kewangan daripada portfolio perdana menteri.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata cadangan itu merupakan antara manifesto pakatan pembangkang sekiranya memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Katanya, HARAPAN turut mencadangkan pelantikan Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara mesti melalui parlimen dahulu dan bukannya lantikan atas nasihat perdana menteri.

Sementara itu ketika berucap semasa majlis pelancaran rasmi BERSATU bahagian Setiawangsa di Kuala Lumpur semalam Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri Malaysia selama 22 tahun, berkata perjuangan BERSATU ialah untuk 30 juta rakyat Malaysia.

“Setiap rakyat berhak memilih pemimpin mereka melalui cara demokrasi.

"Sekiranya HARAPAN tidak bersatu hati, kita tidak akan mampu bersaing dalam PRU ke-14 akan datang," katanya.

Pada sidang akhbar selepas pelancaran itu, Dr Mahathir berkata beliau telah membuat keputusan untuk hanya bertanding di antara tiga kerusi dicadangkan iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

“Terima kasih (Datuk Seri) Azmin (Ali) atas pelawaannya untuk saya bertanding di Gombak,” katanya merujuk pelawaan Menteri Besar Selangor yang bersedia memberi laluan kepada beliau bertanding di Parlimen Gombak.

Bernama


Comments