Boikot PRU Tidak Bertanggungjawab


Kumpulan G25 menyifatkan rancangan untuk memboikot pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebagai salah dan tidak bertanggungjawab.

Mereka mengulas kempen untuk memboikot atau membuang undi rosak pada PRU akan datang yang berjalan di media sosial.

Kempen tersebut ekoran tidak puas hati terhadap kerajaan dan juga pembangkang, terutama apabila Pakatan Harapan (HARAPAN) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menterinya.

"Kami menolak seruan untuk memboikot PRU ke-12 kerana ia cara yang salah dan tidak bertanggungjawab untuk menyuarakan bantahan terhadap pengendalian pilihan raya.

"Kami setuju kelemahan pihak bertanggungjawab dalam menjamin pilihan raya yang bersih dan adil, tetapi ia membuatkan undi kita menjadi lebih penting agar kita dapat membawa perubahan dan menjadikan demokrasi (negara ini) lebih baik," kata kumpulan itu dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, G25 menggesa semua pengundi berdaftar untuk keluar mengundi nanti.

"Ia adalah tanggungjawab kita untuk mengundi agar dapat mempunyai kerajaan yang mematuhi prinsip keadilan dalam kedua-dua perkara berkaitan agama dan tidak.

Kata G25 lagi, rakyat juga bertanggungjawab memilih wakil yang mempertahankan integriti dan prinsip tadbir urus yang baik.

"Golongan muda perlu ingat, untuk demokrasi ditegakkan, semua perlu berperanan. Jika kita meletakkan seluruh tenaga untuk menggerakkan roda demokrasi, kita boleh realisasikan harapan kita untuk negara ini," kata G25 lagi.

Comments