200 Ahli PKR Pulau Pinang Keluar Parti


Kecewa dengan perjuangan PKR yang disifatkan tidak konsisten dan sudah hilang arah mendorong kira-kira 200 ahli PKR Cabang Jelutong di sini mengambil keputusan me­ning­gal parti itu.

Diketuai Timbalan Pengerusinya, Lee Boon Miin, mereka menye­rahkan borang keanggotaan kepada parti baharu, Parti Bersama Malaysia (MUP) yang sebelum ini lantang mengkritik pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Menurut Boon Miin, selain tertekan dengan pentadbiran DAP di negeri ini yang disifatkan menindas wakil rakyat PKR, mereka juga kecewa dengan perbalahan sesama pembangkang dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP seperti yang berlaku di Selangor.

“Perjuangan politik pemim­pin PKR kini bukan lagi kerana kepentingan ahli-ahli parti sendiri, sebaliknya menyokong penuh keangkuhan pemimpin DAP,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang keahlian kepada Presiden MUP, Tan Gin Theam di sini semalam.

Sementara itu, Boon Miin yang menyertai PKR sebelum pilihan raya umum 2008 berkata, lebih mengecewakan mereka apabila PKR kini menjalin kerjasama de­ngan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ujarnya, kerjasama itu jelas menunjukkan perjuangan PKR kini semakin tersasar kerana asas penubuhannya adalah untuk menentang apa yang didakwa sebagai kezaliman yang dilakukan Dr. Mahathir ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekiranya kami masih kekal dalam PKR, kami tidak sesekali boleh mengkritik kerajaan DAP Pulau Pinang atau Ketua Menteri, Lim Guan Eng sedangkan banyak kontroversi timbul dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Sebab itu, demi masa depan yang lebih baik kepada penduduk dan negeri ini, kami nekad me­nyertai MUP dan walaupun parti ini kecil, namun jangan ingat parti ini tidak boleh memberi kesan besar dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sementara itu, Gin Theam ber­kata, ketidaksefahaman yang wujud dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP memperlihatkan se­­olah-olah pembangkang kini hanya wujud pada nama semata-mata.

“Asas perpecahan semakin ke­tara dalam Pakatan Harapan dan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan mereka pula akan dikenakan pelbagai tekanan.

“Sebab itu MUP ditubuhkan ia­itu sebagai platform untuk rakyat menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati mereka khususnya kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Pakatan Harapan,” katanya.

Comments