Bulan Ramadhan Rompak Kedai Mamak, Bulan Syawal Rompak Kedai Runcit

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu kini meningkatkan gerakan memburu seorang lagi suspek dalam cubaan merompak sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Bekah, Cabang Tiga, di sini Khamis lepas.

Ketua Polis negeri Datuk Jamshah Mustafa berkata pihaknya juga yakin dengan tertangkapnya lelaki itu kelak polis dapat menyelesaikan beberapa kes rompakan dan ragut membabitkan warga emas di daerah ini.

"Kami percaya mereka terlibat dengan beberapa kes rompakan dan ragut yang melibatkan warga emas di sekitar bandar ini," katanya di sini hari ini.

Gambar hiasan

Dalam kejadian kira-kira 3.15 petang itu, suspek pertama berjaya ditangkap selepas dia dibelasah oleh seorang wanita dan anak perempuannya yang berusia 22 tahun ketika cuba menyamun rantai emas wanita terbabit.

Bagaimanapun rakannya yang menunggu di luar kedai runcit milik mangsa melarikan diri selepas melihat suspek pertama dibelasah dua wanita berkenaan.

Mengulas tindakan dua beranak berkenaan, Jamshah berkata mereka wajar dipuji kerana berani.

"Dengan adanya kerjasama di antara orang ramai seperti ini, sebarang kejadian dapat dicegah dengan mudah dan saya berharap orang ramai terutamanya warga emas lebih berhati-hati.

"Ini adalah kerana mereka menjadi sasaran utama penjenayah untuk meragut dan juga merompak," katanya.

Jamshah sebelum itu melawat Insp Hussaini Amir Mohd Noor, 27, yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Jumaat lepas.

Comments