Digantung Tugas Kerana Ketuk Ketampi


Dua pegawai imigresen digantung tugas ekoran laporan bahawa dua wanita Singapura dipaksa melakukan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel minggu lalu selepas ditahan kerana dipercayai memasuki Malaysia secara tidak sah.

Akhbar Straits Times Singapura dalam laporannya hari ini berkata Kementerian Luar republik itu melihat perkembangan tersebut sebagai “sesuatu serius dan menimbulkan kebimbangan.”

“Kami mengalu-alukan pengumuman segera pihak berkuasa Malaysia bahawa siasatan segera akan diadakan,” kata akhbar itu memetik jurucakap kementerian tersebut.

Akhbar itu melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad semalam bahawa pegawai-pegawainya telah digantung tugas sehingga satu inkuiri pelbagai peringkat selesai.

Alias berkata panel tujuh orang itu akan menyerahkan laporannya kepada Jabatan Imigresen dan kemungkinan akan memanggil kedua-dua wanita itu jika perlu.

Comments