Wanita Lebih Ramai Sukar Kawal Kencing


KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga puluh peratus iaitu 900 orang dewasa di Malaysia mengalami masalah lemah kawalan kencing (LUL) sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu berdasarkan kajian Poise ke atas 3,000 orang dewasa di negara ini.

Poise, produk perlindungan masalah kawalan kencing keluaran Kimberlu-Clark, dalam kajiannya mendapati wanita adalah penyumbang terbesar dengan 70 peratus dicatatkan daripada angka terbabit.

Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia untuk Poise, Haniza Tahir berkata, melalui kempen yang dijalankan pihaknya, dilihat mampu memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai masalah itu melalui siri rencana pendidikan dan program senaman Kegel.

Katanya, walaupun angka tertinggi bagi masalah itu dimonopoli wanita, namun langkah untuk menanganinya dengan betul masih kurang diamalkan dengan hanya tiga peratus direkodkan mempraktikkan senaman Kegel yang dipercayai dapat memperkuatkan otot lantai pelvik seterusnya membantu mengurangkan masalah ini. Sementara itu, Haniza berkata, kebarangkalian wanita mendapat masalah LUL adalah lebih tinggi disebabkan struktur tubuh wanita serta faktor melahirkan anak.

“Kajian mendapati wanita mula mengalami lemah kawalan kencing secara kerap ketika berusia antara 35-44 tahun,” katanya.

Manakala 19 peratus wanita berumur bawah 35 tahun juga turut mengalami masalah berkenaan.

Comments