UMNO Lama dan UMNO Baru = UMNO Masa Depan


[ANALISIS] Hari ini, 11 Mei 2011 Umno menyambut ulang tahun ke-65. Tetapi melihat sejarahnya Umno yang ada hari ini bukanlah parti yang mewarisi secara sambung-menyambung daripada pertubuhan yang ditubuhkan pada 1946.

Ini kerana pada tahun Umno yang didaftarkan pada 11 Mei 1946 itu telah diisytiharkan haram oleh mahkamah pada 1988. Umno yang ada sekarang sebenarnya adalah Umno Baru yang didaftarkan pada 13 Februari 1988. Ia kemudian berjaya menggugurkan perkataan baru itu dan selanjutnya diterima oleh mahkamah sebagai pewaris kepada Umno tahun 1946.

Perbezaan antara Umno dan Umno Baru bukan sekadar dari segi undang-undang. Baik dari segi politik mahupun fahaman, terdapat perbezaan antara kedua parti bernama sama untuk zaman yang berbeza. Umno yang asal ditubuhkan oleh Datuk Onn Jaafar sementara Umno kini adalah diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagi memudahkan cerita sememangnya boleh dianggap terus bahawa Umno kini adalah sama dan lanjutan kepada Umno tahun 1946. Tetapi hakikatnya perbezaan fahaman antara apa yang diasaskan oleh Datuk Onn dan Dr Mahathir tentunya berbeza.

Sememangnyalah setiap pemimpin Umno mencorakkan bentuk dan hala tuju parti. Tentulah Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir mempunyai perbezaan cara mereka mencorakkan Umno. Begitu juga dengan cara Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak memimpin Umno kini masing-masing mencorakkan perjalanan parti menurut cara tersendiri.

Tetapi dengan menubuhkan Umno Baru, Dr Mahathir mendapat peluang untuk membentuk semula parti itu secara segar, hinggakan boleh dikatakan bahawa ia merupakan suatu usaha peremajaan semula parti tersebut. Maka, jika dikirakan bahawa parti itu kini adalah merupakan Umno baru, maka ia sekarang berusia hanyalah 23 tahun. Tidakkah ia merupakan peremajaan semula sedangkan Umno asal itu sudah tiada ketika ia berusia 42 tahun. Sepatutnya begitu.

Atau mungkin peremajaan semula inilah yang menyebabkan parti itu dalam bentuk Umno baru membolehkan ia menyambung hayat perjuangannya bagi memenangi semula pilihan raya umum iaitu pada tahun 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008.

Tetapi cuba bandingkan kemenangan Umno yang lama dalam pilihan raya terdahulu iaitu pada tahun 1955, 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1981 dan 1986. Melihat sekali imbas pilihan raya yang dihadapi oleh Umno asal ialah kejayaan besar mereka berbanding parti yang kini.

Dari segi kerajaan negeri juga,  dapat dilihat bahawa kekalahan besar berlaku pada tahun 1959 apabila Umno kehilangan Kelantan dan Terengganu kepada PAS. Ia kemudian dapat mengambil balik Terengganu dari segi pilihan raya pada tahun 1964 dan Kelantan pada 1978.

Sementara Umno yang kini pula kehilangan Kelantan pada 1990 dan Terengganu pada 1999. Walaupun ia berjaya meraih semula Terengganu pada 2004, tetapi ia kehilangan Kedah, Perak dan Selangor pada 2008. Justeru, apabila melihat prestasi pilihan raya, Umno kini tidaklah seberjaya seperti Umno asal. Dalam erti kata lain, apa yang dilihat sebagai peremajaan semula dengan penubuhan Umno baru pada 1988 tidak berlaku.

Sememangnya dari segi fahaman dan matlamat perjuangan Umno tahun 1946 adalah sama dengan Umno Baru 1988.

Tetapi tokoh-tokoh kepimpinannya berbeza. Dr Mahathir yang mengasaskan Umno Baru sememangnya berjiwa Umno asal kerana beliau terlibat dengan parti ini sejak awal lagi. Begitu juga dengan Tun Ghafar Baba yang menjadi Timbalan Presiden pertama Umno Baru.

Namun kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pucuk pimpinan tertinggi Umno baru membuatkan ia berbeza dengan Umno dahulu.

Walaupun kemudian kebanyakan pemimpin Parti Melayu Semangat 46 menyertai Umno Baru, yang akhirnya membolehkan parti itu dianggap sebagai pewaris terus kepada Umno asal, keadaan parti sudah berubah, bukan saja dari segi struktur tetapi juga kesinambungan kepimpinan. Keadaan ini berlaku walaupun Anwar disingkirkan daripada parti pada 1998.

Para penyokong Anwar menubuhkan Parti Keadilan Nasional yang disertai oleh banyak bekas penyokong Umno. Sebagai sebuah parti berbilang kaum tetapi dipimpin oleh orang Melayu, ia seolah-olah merupakan penjelmaan semula apa yang pernah diutarakan oleh pengasas Umno sendiri iaitu Datuk Onn.

Sementara kemudian Parti Rakyat Malaysia (PRM) bergabung dengan PKN untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR), ia mengimbau kembali kepada apa yang berlaku semasa penubuhan Umno dahulu.

PRM adalah pewaris kepada Parti kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), sebuah parti Melayu kiri dan progresif yang turut menyertai Umno, yang pada mulanya merupakan gabungan persatuan-persatuan orang Melayu. Ia kemudian keluar dari Umno kerana parti itu dilihat sebagai konservatif, didominasi oleh bangsawan dan tidak memperjuangkan kemerdekaan sepenuhnya.

Maka begitulah cabaran yang dihadapi oleh Umno akan datang. Walaupun katakan pada kemudian hari, PKR menjadi lemah atas banyak sebab tetapi tuntutan rakyat, termasuk orang Melayu sudah jauh berbeza daripada apa yang yang dihadapi oleh baik Umno asal tahun 1946 mahupun Umno kini yang berupa lanjutan kepada Umno Baru tahun 1988.

Comments