Streaming TV [Live]


Komuniti

Nuffnang

Friday, 27 May 2011

Mati Melambung

Gambar hiasan

JITRA: “Arwah beria-ia mahu makan lempeng ubi kayu yang dicabut di tepi rumah, kelmarin (semalam) sehingga dia sanggup menyagat sendiri dan menikmatinya, tetapi terkejut apabila dimaklumkan dia maut dalam kemalangan,” kata Hendon Wahab, 62, isteri kepada Abu Seman Ibrahim, 71, yang maut dalam kemalangan di Pekan Changlun, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebuah kereta BMW dari arah bertentangan menyebabkannya tercampak sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Hendon dari Kampung Ladang Rakyat, Mukim Laka Temin, di sini, berkata, arwah memberitahu mahu menjelaskan bayaran bil air, tetapi tertinggal bil di rumah menyebabkan dia tidak sedap hati sebelum dimaklumkan berita suaminya maut dalam kemalangan itu.

Menurutnya, sebelum keluar rumah, suaminya sempat memakan lempeng ubi kayu dengan begitu berselera selepas mencabut tanaman itu, kelmarin.

“Saya tak sangka dia (suami) akan pergi dulu kerana malam tadi (kelmarin), arwah sempat bergurau mengatakan selepas ini dia akan tinggal berasingan dan makan pun berasingan dengan keluarga.

“Tak sangka pula dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga, namun saya lega kerana sempat menjamunya makan lempeng ubi kayu kerana dia teringin sangat dan tidak sangka ia petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Hospital Jitra, di sini.

Hendon berkata, banyak perubahan sikap berlaku terhadap arwah sejak beberapa hari lalu tetapi dia menganggap mungkin secara kebetulan, namun tidak menyangka ia membawa petanda ajalnya sudah sampai.

Bagaimanapun, katanya, dia dan anak-anak reda dengan apa yang berlaku kerana Allah SWT lebih menyayangi suaminya.

Arwah yang hanya menjalankan kerja kampung termasuk membela ayam dan menanam sayuran itu meninggalkan isteri dan tiga anak berusia antara 26 hingga 39 tahun.

Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kayu Hitam selepas solat Asar, petang semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang lelaki berusia 40-an dari arah Bukit Kayu Hitam manakala mangsa dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat di Pekan Changlun, mangsa dikatakan melintas ke sebelah kiri jalan. “Akibatnya, kereta BMW itu terus merempuh motosikal itu menyebabkan mangsa melambung dan jatuh di but kereta menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu kereta itu kemudian membuat laporan polis,” katanya.

0 comments: