Kereta Terjunam ke Longkang


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki bersama dua rakannya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Bunus di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu berlaku apabila kereta yang dipandu rakan mangsa dari arah Jalan Ampang menghala ke Jalan Dang Wangi dipercayai hilang kawalan apabila tiba di lampu isyarat berhampiran selekoh Jalan Munshi Abdullah.

Ketua Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa, D Parameswaran, 31, dari Taman Sri Andalas disahkan mati di tempat kejadian selepas kereta dipandu rakannya yang hilang kawalan melanggar penghadang kiri jalan sebelum terjunam dan tenggelam di dasar sungai.

“Mangsa adalah penumpang hadapan manakala rakannya yang memandu kereta BMW (523i) putih itu serta seorang lagi penumpang belakang selamat dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mayat mangsa dihantar ke HKL untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Comments