Ditampar 24 Kali

AMPANG: Akibat dituduh melaporkan kegiatan ponteng beberapa pelajar kepada guru disiplin, seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini, ditampar bertalu-talu, ditendang dan diugut sekumpulan pelajar ‘samseng’ di hadapan khalayak di luar sebuah kedai serbaneka, 11 Mei lalu.

Mangsa dikenali sebagai Kung, 13, berkata, kejadian berlaku ketika dia menghadiri sesi persekolahan seperti biasa dan semasa memasuki pagar sekolah, seorang pelajar dikenali sebagai Wen mengatakan seorang pelajar senior ingin berjumpanya di sebuah kedai serbaneka untuk berbincang mengenai satu perkara.

Gambar hiasan

Katanya, sebelum sempat berbuat apa-apa, dia cuba diheret secara paksa keluar dari kawasan sekolah tetapi dia memberitahu boleh berjalan sendiri ke tempat dimaksudkan, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sebaik tiba di luar kedai serbaneka, seorang pelajar dikenali sebagai Ying meluru ke arahnya dan menuduh melaporkan kegiatan ponteng mereka kepada guru disiplin sebelum beberapa remaja lain terdiri daripada perempuan dan lelaki mengepungnya.

Katanya, dia cuba menjelaskan bukan dia yang membuat laporan namun Ying bertindak menampar kuat pipinya menyebabkan mukanya terasa pedih.

“Ying semakin agresif dan menampar kedua-dua pipi saya.

“Dia yang ternyata tidak berpuas hati menyuruh dua lagi rakannya menampar saya,” katanya.

Menurutnya, dia yang mula berasa sakit cuba melarikan diri namun usahanya sia-sia kerana dikepung kumpulan terbabit.

“Saya diugut tidak menangis dan menjerit jika tidak, mereka akan bertindak lebih ganas sekiranya saya berbuat demikian,” katanya.

Selepas ditampar lebih 24 kali, mangsa ditendang sebelum dilepaskan dan diberi amaran untuk tidak melaporkan kejadian itu kepada guru disiplin sekiranya tidak mahu menerima nasib sama.

Bagaimanapun, seorang guru menyedari kesan merah serta bengkak pada wajah mangsa dan selepas mengetahui kejadian sebenar, guru terbabit segera memaklumkan perkara itu kepada guru disiplin serta ibu bapanya.

Comments