Thursday, 26 May 2011

Curi Coli Dengan Teman Lelaki


KUANTAN: Seorang jurujual wanita selamba menjawab tiada duit ketika ditanya Mahkamah Majistret, di sini, semalam, mengapa dia mencuri sehelai coli berharga RM12.99 bersama teman lelakinya dari pasar raya 22 Mei lalu.

Tertuduh, Noraazma Che Mohd Zin, 26, dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Puteri, Rompin, didakwa mencuri coli berkenaan, minyak wangi, gel rambut dan jus minuman dengan nilai kira-kira RM75 di Pasaraya Giant, Tanah Putih, di sini, kira-kira jam 4.45 petang.

Teman lelakinya yang juga juruservis dandang, Mohamad Faizal Rasidi, 28, dari Balok Baru, di sini, pula didakwa mencuri minyak wangi dan pewangi ketiak bernilai RM49 pada tempat dan waktu sama.

Kedua-duanya ditahan pengawal keselamatan yang ternampak perbuatan mereka mengambil barangan berkenaan daripada rak pameran dan memasukkannya ke dalam beg sebelum keluar melalui lorong tanpa pembelian.

Pemeriksaan lanjut mendapati barang berkenaan dibawa keluar dari pasar raya tanpa sebarang resit pembelian sebelum kedua-duanya diserahkan kepada polis.

Kes disebut di depan Majistret Nurunaim, manakala pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Azman Ariffin.

0 Komen: