Seterusnya PRK DUN Lenggeng?

Mahkamah Tinggi Seremban, semalam memerintah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim membela diri dan memberi penjelasan semula terhadap tiga tuduhan rasuah dua tahun lalu. 

Mustafa, 51, yang sebelum ini dibebaskan Mahkamah Sesyen di sini, atas semua pertuduhan pada 14 April lalu, diminta membela diri berikutan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan itu 

Sebelum ini, SPRM me rayu kes dibicara semula berikutan tertuduh tidak diarah membela diri pada akhir pendakwaan. 

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin berkata, mahkamah membenar rayuan itu selepas pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tiga pertuduhan itu. 

“Mahkamah meneliti beberapa faktor penting kes merangkumi nota keterangan, petisyen rayuan, alasan penghakiman dan hujahan kedua-dua pihak termasuk rakaman perbualan berkaitan elemen meminta dan menerima suapan. 

“Oleh demikian, tertuduh diminta membela diri dan memberi penjelasan di Mahkamah Sesyen,” katanya.: 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM negeri, Fieza Fazlin Fandi, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Taqiuddin Yahya dan Fiesal Mustapha. 

Mustafa yang berkemeja putih dan berseluar gelap dilihat tenang ketika hadir di kedua-dua mahkamah berkenaan dan memilih untuk memberi keterangan bersumpah di dalam kandang saksi pada perbicaraan akan datang. 

Mahkamah Sesyen melalui Hakim Amran Jantan menetapkan pada 23 hingga 25 November ini mendengar semula kes itu dan ikat jamin RM6,000 serta seorang penjamin dikenakan. 

Terdahulu, mengikut pertuduhan pertama, Mustafa didakwa meminta RM3,000 daripada M Manimaran, 37, melalui Mustafa Pendek, 58, di Lot 1321, Mukim Pantai, Seremban, kira-kira jam 11 pagi, 28 Ogos 2008, sebagai balasan mengeluarkan surat sokongan permit jual pasir. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta RM2,000 daripada Manimaran di pejabat SPRM Negeri Sembilan di Jalan Datuk Klana Ma’amor, Seremban.

Comments