Bentang Bajet RM 10 Bilion, RM 7 Bilion Kroni Sapu

azan16
Dana awam akan terus diperah apabila 70 peratus atau RM7 bilion daripada subsidi sebanyak RM10 untuk tahun hadapan akan berakhir di tangan syarikat-syarikat kroni Umno-Barisan Nasional.
Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail, kebanyakan subsidi akan diberikan syarikat besar seperti penjanakuasa bebas (IPP) dan konglomerat perniagaan yang mempunyai hubungkait rapat dengan pimpinan Umno-Barisan Nasional.

"Penerima manfaat penghujungnya adalah kroni Umno-BN  daripada sejumlah besar subsidi yang diperuntukkan. Bagi rakyat hanya 30 peratus atau RM3 bilion sahaja manakala 'jerung besar' siap sedia menunggu bahagian terbesar daripada subsidi itu," kata Azan kepada Suara Keadilan. 

Sehubungan itu rakyat diingatkan jangan terpedaya dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Belanjawan 2011 berhubung pengekalan kadar tol selama lima tahun akan datang di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd atas alasan untuk meringankan beban pengguna.

Ini kerana, menurut Azan, kerajaan terpaksa menggunakan dana awam kira-kira RM512 juta sebagai pampasan kepada PLUS.
plaza-tol
Jumlah tersebut juga adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan untuk subsidi sebanyak RM10 dalam belanjawan tersebut.

"Saya minta rakyat jangan terpedaya dan berhati-hati dengan pengumuman tersebut kerana apa yang saya bimbangkan jika menang pilihan raya umum, kerajaan Umno-BN akan terus menaikkan semula kadar tol yang ditangguhkan itu dan ianya pastinya bakal membebankan rakyat," ujar beliau.

Justeru, beliau menyeru rakyat supaya memikirkan masak-masak kerana langkah tersebut hanyalah untuk memanupulasi PRU Ke-13 akan datang, di samping untuk menyedapkan hati rakyat.

"Jika Najib benar-benar ikhlas, beliau sepatutnya menghapuskan terus kadar bayaran tol dan bukannya menangguhkan kenaikan tersebut.

"Beliau bukan memberikan gula-gula pilihan raya tetapi cuba memberi candu supaya rakyat menjadi khayal dan membayangkan sesuatu yang realitinya tidak wujud," tambah Azan.

Jumaat lalu, UEM Group Bhd. (UEM Group) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan akan mewujudkan sebuah syarikat khas (SPV) untuk tawaran mengambil alih keseluruhan aset dan liabiliti PLUS pada harga berjumlah RM23 bilion.

plus
Sebelum itu, Asas Serba Sdn Bhd yang dipercayai berkiat dengan Tun Daim Zainuddin dan tan Sri Halim Saad mengemukakan cadangan untuk menguasai PLUS dan 21 konsesi lebuh raya pada harga RM50 bilion tahun lalu.

Baru-baru ini, MMC Bhd milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pula mengesahkan membuat tawaran berjumlah RM15.6 bilion untuk membeli UEM bertujuan membolehkan syarikat konglomerat itu menguasai PLUS yang merupakan anak syarikat UEM.

Azan juga berpendapat langkah menangguhkan kenaikan tol menunjukkan Najib terdesak untuk mendapat mandat baru daripada rakyat.

"Beliau nampaknya tidak boleh bertahan dalam keadaan sebegini. Keputusannya seperti memberi lesen judi bola sepak sebelum ini, mendapat bantahan rakyat dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat khususnya.

"Malahan, Ahli Parlimen Umno-BN turut menentangnya apabila beliau mengguna pakai nasihat Apco Worldwide berhubung Model Ekonomi Baru (MEB), Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

"Sekarang ini, ahli Umno secara terang-terangan turut tidak bersetuju dengan idea Najib," komen Azan lagi.

Katanya, dalam usaha Najib untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat beliau terpaksa mengumpan sesuatu bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut.

"Apa yang saya lihat, beliau nampaknya amat takut, jadi kemungkinan besar Pilihan Raya Negeri Sarawak dan PRU Ke-13 akan diadakan serentak.

Comments