Musa Buktikan UMNO/BN Salah Guna Kuasa

PAS menganggap pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang bakal bersara pada 13 September depan berhubung campur tangan pihak ketiga dalam operasi Polis DiRaja Malaysia hingga menganggu struktur 'command and control' dalam organisasinya sebagai tindakan yang wajar.

Is juga membuktikan peranan yang dimainkan oleh Umno-Barisan Nasional menekan dan menyalahguna institusi serta agensi kerajaan untuk kepentingan politik kepartian.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad menyifatkan langkah Musa itu belum terlewat, walaupun beliau kini telah dibersarakan melalui kenyataan akhbar Menteri Dalam Negeri. 

"Memang agak mengejutkan kerana persaraannya disampaikan melalui media bukannya melalui arahan dalaman. Ini tidak sepatutnya berlaku ke atas seorang yang amat setia kepada kerajaan, kerana pengumuman persaraan beliau dengan terus menamakan penganti itu ibarat tindakan "habis madu sepah dibuang".

"Nama beliau begitu popular dalam PDRM selepas berjaya mengheret Datuk Mokhtar Hashim, mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang telah membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taha Talib pada 1982 kerana berebut jawatan dalam pemilihan Umno Bahagian Tampin," jelas Idris dalam satu kenyataan semalam.

Selepas itu Musa juga turut terlibat dalam kes tuduhan liwat ke atas Datuk seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan 2009. 

Beliau juga berjaya melepasi tuduhan rasuah ke atasnya bernilai RM3 juta yang didakwa diterima kerana membebaskan 3 orang anggota sindiket judi haram. Peguam Negara dan SPRM menutup kes ini pada 2007 dengan penuh kontroversi.

"PAS melihat beliau telah melalui kemuncak perkhidmatannya dengan begitu akrab membantu Barisan Nasional atas nama kerajaan. Namun, cetusan rasa tidak puashati yang disebutnya baru-baru ini menceritakan hakikat tekanan yang dialami sepanjang menjadi anggota polis di bawah pentadbiran BN.

"Tangan dan kaki beliau terikat dalam banyak kes termasuklah kes pembunuhan Altantuya yang melibatkan anggotanya dan beberapa orang politik." kata Idris lagi.

Idris berkata pengakuan Musa kepada media bahawa terdapatnya campur tangan politik ketika beliau menjalankan tugas menyokong penuh kenyataan mantan Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Shafee Yahaya yang turut menyatakan terdapat campur tangan dan penglibatan orang politik dalam kerajaan yang menganggu penjawat awam melaksanakan tugas hingga mendorong penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Rakyat akan terus membuka mata dan telinga bagi mengetahui kebenaran ini. Kenyataan Musa dan Shafee adalah kebenaran yang sukar disangkal kerana merekalah antara orang yang banyak dipergunakan oleh pihak berkepentingan khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri yang begitu kebal dari undang-undang.

"Pegawai tinggi kerajaan hanya mampu membuka mulut bila tarikh persaraan mereka diumumkan. Tetapi itu sudah cukup memberitahu kita apa yang berlaku dibalik pemerintahan BN di Putrajaya. 

"Rakyat kini jelas banyak perkara dan salahguna kuasa yang berlaku dalam pentadbiran negara dan pegawai tinggi kerajaan ini terdesak untuk bersubahat melindungi mereka demi untuk memastikan pegawai ini boleh pencen dengan selamat tanpa tekanan," ujar Idris.

Beliau berharap pegawai kerajaan tidak membiarkan diri mereka terus dijadikan alat untuk kepentingan pemimpin BN. 

Jika tidak, mereka akan mengakhiri perkhidmatan mereka dengan perasaan bersalah kepada rakyat dan negara ini sama seperti apa yang Musa dan Shafee lalui.

Comments