Guna Kereta Ayah Pecah Rumah

Seorang anak sanggup menggunakan kereta milik ayahnya bagi menjalankan kegiatan pecah rumah dan mencuri sebuah kereta mewah yang dipalsukan nombor pendaftarannya serta cukai jalan. 

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, suspek itu berjaya ditahan apabila cuba melarikan diri sebaik melihat kelibat anggota polis di sebuah pasar raya di Bidor. 

Menurutnya, semasa ditahan, polis berjaya menemui beberapa jenis barang kemas dan suspek tidak dapat memberi keterangan berkaitan barangan itu. 

“Hasil siasatan lanjut, suspek mengakui terlibat dalam kes pecah rumah di kawasan Tapah dan turut mendedahkan rakan yang terlibat dalam kegiatan ini. 

“Dari maklumat itu, pihak polis berjaya menangkap lima lagi rakan jenayah yang tinggal di sekitar Bidor dan turut menemui barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah,” katanya kepada media di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, semalam. 

Roslan Bek berkata, antara barangan yang dirampas ialah dua kereta, barangan kemas dan beberapa peralatan perkakasan elektrik. 

Katanya, suspek turut mendedahkan dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas dan polis masih memburu kedua-dua suspek itu. 

“Salah seorang suspek yang diburu dikenali sebagai Ahmad Azroy Raja Ahmad Tajuddin, 16, dan mempunyai rekod jenayah sebelum ini. 

“Seorang lagi hanya dikenali sebagai Joe yang tinggal di Bidor dan pihak kami masih meneruskan siasatan,” katanya. 

Roslan Bek berkata, hasil siasatan polis juga mendapati kumpulan ini terlibat dalam sembilan kes pecah rumah di kawasan Bidor dan satu kes di Tapah. 

“Kami menjangkakan kemungkinan lebih banyak kes berjaya diselesaikan hasil daripada siasatan lanjut yang dilakukan. 

“Kesemua suspek yang berusia lingkungan 20-an kini ditahan reman dan akan dibacakan pertuduhan pada 6 September nanti,” katanya. 

Comments