Dokumen Sulit Dedah Nuklear AS-Israel


OBAMA dan Netanyahu berjalan di White House, Washington kelmarin.


Satu dokumen sulit yang didedahkan oleh media Yahudi mengesahkan bahawa Israel dan Amerika Syarikat (AS) memeterai kerjasama nuklear, lapor akhbar Haaretz semalam.

Menurut stesen Radio Tentera Israel, AS dilaporkan menghantar satu dokumen kepada rejim Zionis berhubung kerjasama nuklear melibatkan kedua-dua buah negara selain berjanji menjual bahan-bahan yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik dan bekalan lain.

Komitmen kerjasama nuklear itu dinyatakan oleh AS walaupun terdapat kenyataan bahawa Israel tidak menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) seperti kebanyakan negara kuasa nuklear lain.

Negara-negara lain enggan bekerjasama dengan Israel berhubung isu nuklear kerana ia tidak menandatangani NPT manakala masyarakat antarabangsa meminta rejim Zionis lebih terbuka dan telus berhubung senjata nuklear.

Semasa pertemuan antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan Presiden AS, Barack Obama di Washington kelmarin, kedua-dua pemimpin berkenaan berbincang tentang cabaran NPT selain keperluan untuk mengukuhkan sistem kawalan senjata nuklear.

Netanyahu bagaimanapun mengelak daripada menyertai sidang tersebut yang akan diadakan pada September depan dengan alasan negara-negara lain akan menuding jari ke arah Israel kerana menyembunyikan senjata nuklearnya.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan tentang desakan untuk mengadakan persidangan untuk menjadikan rantau Asia Barat bebas senjata nuklear yang diusulkan ketika sidang NPT 2010 di New York.

Obama memberitahu Netanyahu bahawa, sebagai penganjur bersama sidang bebas nuklear tersebut, AS mahu ia memiliki agenda meluas yang turut merangkumi isu-isu keselamatan serantau, verifikasi dan pematuhan nuklear antarabangsa serta perbincangan mengenai semua bentuk senjata pemusnah besar-besaran.

Obama juga menekankan bahawa AS akan terus bekerja rapat dengan Israel bagi memastikan bahawa inisiatif dan dasar pengawalan senjata tidak memencilkan keselamatan Israel. 

Sumber: Agensi

Comments