Peramal Manohara Meninggal


MAMA LAUREN


Seorang peramal terkenal Indonesia yang pernah menyatakan bahawa Manohara Odelia Pinot dijual oleh ibunya kepada Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry telah meninggal dunia kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Peramal itu, Laurentia C Von Hooff HJ Pasaribu Binti Laurentius atau lebih dikenali sebagai Mama Lauren yang berumur 78 tahun meninggal dunia di Rumah Sakit PGI Cikini, Jakarta Pusat malam kelmarin selepas dirawat kerana sakit paru-paru. 

Mama Lauren amat dikenali di Indonesia kerana dia banyak membuat ramalan terhadap masa depan ahli-ahli politik dan selebriti popular.

Semasa kes penculikan Manohara didakwa dilakukan oleh kerabat diraja Kelantan itu hangat diperkatakan di negara itu, Mama Lauren pernah menyatakan ramalannya dengan menyatakan bahawa isteri Tengku Temenggong Kelantan itu berada dalam keadaan baik. 

"Ibunya (ibu Manohara), sudah mendapat harta daripada pangeran (Tengku Muhammad Fakhry), dapat apartmen dan Mercedes Benz. Jadi apa namanya itu kalau bukan jual anak," kata Mama Lauren seperti yang disiarkan kembali oleh media Indonesia semalam.

Menurut akhbar itu, Mama Lauren yakin Manohara bernikah tanpa dipaksa. 

"Saya lihat, dia memang dikahwinkan. Kalau tidak untuk menikah, kenapa dihantar ke Malaysia?" kata Mama Lauren semasa dia masih hidup. 

Selain Manohara, nasib penyanyi Krisdayanti turut diramalkan oleh Mama Lauren.

Sebelum perceraian penyanyi itu dengan pemuzik Anang terjadi, Mama Lauren pernah meramalkan bahawa ia akan berlaku.

Menurut seorang ahli politik Indonesia, Permadi, Mama Lauren meramalkan bahawa negara itu akan dilanda bencana besar tetapi dia tidak menyatakan tarikhnya.

Permadi berkata, Mama Lauren menyatakan kiamat tidak akan berlaku pada 2012 tetapi dia menganggap tahun itu merupakan tahun kebangkitan Indonesia. 

Sumber: Agensi

Comments