Nenek Dan Dadah

Polis menahan seorang nenek berusia 65 tahun kerana disyaki terbabit menjual dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jenalik. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Superintendan Baharom Othman, berkata dalam serbuan jam 11 pagi itu sepasukan anggotanya diketuai Cif Inspektor Sahran Termizi menahan wanita berkenaan ketika sibuk berurusan menjual dadah di rumah itu.

Turut ditahan, dua lelaki berusia 30-an disyaki pembeli dadah.

Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui sebungkus plastik lutsinar mengandungi 30 paket dadah dipercayai heroin tersorok di bawah tikar getah rumah dua tingkat terbabit.

Harga pasaran dadah yang dirampas dianggarkan sekitar RM8,000. Wanita warga emas terbabit menjadikan rumah berkenaan tempat penjualan dadah dan ketika serbuan dibuat, suaminya tiada di rumah.

Polis turut merampas wang tunai RM2,500. Ketiga-tiga suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk siasatan lanjut dan direman seminggu bermula semalam untuk membantu siasatan.

Comments