Terbunuh Ketika Cari Rezeki Untuk Keluarga

Hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan memaksa seorang ayah menuba ikan untuk dijadikan hidangan makan malam isteri dan anak-anaknya di rumah.

Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaiannya apabila bom buatan sendiri yang digunakan untuk meletupkan lubuk ikan tiba-tiba meletup sebelum sempat ia dilemparkan ke tasik selepas ia dinyalakan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, ketika kejadian, mangsa yang juga penoreh getah, Abdullah Hassan(gambar atas), 48, berseorangan menaiki perahu menuju ke tasik di Danau Tok Uban, dekat ini, kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

“Akibat daripada letupan tersebut, Abdullah tercampak ke dalam tasik di mana kedua-dua kaki dan tangan kirinya putus. Bagaimanapun tangan kirinya itu masih lagi belum ditemui,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat Abdullah ditemui seorang kaki pancing yang kebetulan berada di kawasan berhampiran.

Sementara itu, isterinya, Rosnani Yasak, 41, berkata, pada hari kejadian, dia tidak mengetahui hasrat suaminya ingin menuba ikan.
“Ini kerana sudah sebulan dia tidak berbuat demikian dan ketika kejadian, saya berada di kebun getah.

“Jadi saya dan anak-anak tidak tahu yang dia ke sana, sehinggalah orang kampung bising-bising memberitahu suami saya mati akibat bom,” katanya.

Anak lelakinya, Mohd Shahrir Abdullah, 16, memberitahu, dia begitu sedih dengan pemergian ayahnya kerana dia tahu betapa susah payah arwah berbuat demikian untuk memberi mereka (adik-beradik) makan.

Mohd Shahrir yang belajar di Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Uban berkata, sebelum ini mereka sekeluarga hanya makan nasi dengan berlaukkan garam kerana kesempitan hidup.

“Kalau dapat makan sedap pun bila ayah pergi menangkap ikan. Jadi bolehlah makan nasi yang ada lauk, kalau tidak, budu dan garamlah lauk kami,” katanya yang pernah dalam seminggu ke sekolah tanpa membawa satu sen.

Abdullah meninggalkan seorang balu dan tujuh anak yang berumur 21 tahun hingga tiga tahun serta empat lagi anak bersama isteri pertamanya dahulu.

Comments