Streaming TV [Live]


Komuniti

Nuffnang

Wednesday, 21 April 2010

Gempa Rosakkan 2/3 Sekolah

Gempa bumi yang berlaku di barat China minggu lalu memusnahkan atau menyebabkan lebih dua per tiga dari jumlah sekolah yang terletak di kawasan bencana musnah teruk, mengembalikan ketakutan selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat dua tahun lalu yang mengakibatkan ribuan pelajar terkorban.


Kerajaan pada tahun lalu melancarkan projek besar bagi memeriksa dan mengukuhkan sekolah di negara itu dan kira-kira 70,000 daripadanya memerlukan kerja-kerja menahan gegaran gempa bumi, seorang pegawai pelajaran tertinggi, membayangkannya bulan lalu.

Namun, segelintir penduduk termasuk pelajar yang terselamat dalam gempa di daerah Yushu minggu lalu, dengan marah mempersoalkan mengapa sekolah di kawasan masyarakat terpencil Tibet tidak dibaiki dengan baik terlebih dahulu.

Jumlah kematian akibat gempa itu mencecah 2,064 orang sehingga semalam.

“Jika setiap tahun separuh daripada wang dibelanjakan untuk kereta, makan, minum dan melancong ke luar negara boleh dijimatkan dan dibelanjakan bagi mengukuhkan bangunan di kawasan luar bandar, dalam tempoh setahun, bangunan yang didiami jutaan penduduk boleh menjadi ‘tahan-gempa bumi’,” kata seorang bekas jurutera terkenal untuk Pentadbiran Gempa Bumi China, Wang Zifa di dalam laman blognya Sabtu lalu yang memerli gaya perbelanjaan pegawai di negara berkenaan.

Imej sekolah runtuh dan ungkapan ‘pembinaan tofu’ membakar kenangan dua tahun lalu masyarakat China apabila lebih daripada 5,000 pelajar terkorban dalam satu kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di wilayah selatan Sinchuan.

Kematian itu amat memberi kesan kepada penduduk China yang mempunyai hanya seorang anak kerana terpaksa mengikut polisi kerajaan. 

Sumber: AP

0 comments: