MAS Bayar Ganti Rugi RM9,675

Mahkamah Majistret Sivil di sini hari ini memerintahkan Malaysian Airlines System Berhad (MAS) membayar ganti rugi berjumlah RM9,675 kepada seorang penumpangnya yang kehilangan bagasi di tempat pengambilan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, empat tahun lepas.

Majistret Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membuat keputusan itu setelah membenarkan tuntutan ganti rugi yang difailkan oleh seorang pengurus syarikat penerbangan Kang Guat Pheng, 51, dari Kuantan, Pahang pada 30 Mei 2007.

Mahkamah juga memerintahkan defendan (MAS) membayar kos dan faedah lapan peratus setahun atas tuntutan plaintif bermula dari tarikh penghakiman hari ini sehingga tarikh penyelesaian sepenuhnya.

Sepanjang perbicaraan, Kang yang diwakili peguam Zaidi Abdul Hamid mengemukakan dua orang saksi sementara MAS yang diwakili peguam Hariharan Tara Singh memanggil tiga orang saksi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Kang mendakwa pada 26 Dis 2006 beliau telah menaiki penerbangan MAS dari Bandar Ho Chi Minh, Vietnam ke KLIA dan dalam penerbangan itu beliau turut mendaftarkan sebuah bagasi seberat 10kg.

Kang mendakwa apabila tiba di KLIA, beliau mendapati bagasi miliknya hilang di tempat pengambilan bagasi menyebabkan beliau menanggung kerugian kerana kehilangan barangan peribadi bernilai RM9,675

Comments