Pegawai tinggi tentera terlibat?

Pembocoran maklumat mengenai rahsia pertahanan negara berkemungkinan besar melibatkan para pegawai kanan berpangkat tinggi, demikian menurut Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad.

"Ini kerana, dari segi amalan kerahsiaan dalam organisasi kerajaan dan pertahanan, hanya mereka yang yang berpangkat tinggi sahaja yang mempunyai akses ke atas maklumat bertaraf sulit, rahsia dan rahsia besar itu," kata beliau dalam suatu kenyataan di sini, hari ini.

Jika hal yang sama berlaku di negara-negara maju seperti Jepun, tambah beliau, Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan pasti akan meletakkan jawatan.

"Adakah Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan perlu dibiarkan sahaja sedangkan ini adalah insiden kedua yang melibatkan kecuaian yang besar dibawah pentadbiran mereka.

"Kes enjin pesawat F-5E belum selesai, kini dah timbul kes maklumat rahsia ketenteraan yang boleh dibocorkan pula," kata beliau, kesal dengan kerapuhan sistem keselamatan agensi pertahanan negara mutakhir ini.

Kata Idris, angkatan tentera sepatutnya jadi contoh dan penanda aras kepada sistem keselamatan agensi pertahanan lain, namun insiden terbaru ini menimbulkan kebimbangan di hati rakyat kerana negara ini boleh dianggap tidak selamat.

"Apa sahaja kekuatan dan kelematan sistem pertahanan yang ada dalam negara ini begitu senang diketahui musuh. Intergriti anggota keselamatan negara bakal menjadi pertikaian jika ianya gagal ditangani segera.

"PAS harap agensi keselamatan negara membuat kajian semula tentang tahap keselamatan yang ada. Rakyat perlukan jaminan yang kondusif terhadap tahap keselamatan negara," kata beliau.
Tambah Idris, PAS mendesak kerajaan mendakwa sekali gus menjatuhkan hukuman berat kepada pengkhianat negara yang terlibat dalam kes ini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengakui bahawa telah berlaku kebocoran maklumat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada satu kedutaan asing di sini yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Ahmad Zahid berkata, maklumat itu dibocorkan oleh orang dalam ATM yang dipercayai diupah kedutaan berkenaan, tetapi enggan menjelaskan butiran lanjut berhubung nama kedutaan tersebut.

Comments