Jangan Sampai Rakyat Benci Pas



Parti Islam Semalaysia (PAS) diminta berhati-hati mengeluarkan kenyataan berhubung muzakarah bersama Umno, BN kerana dibimbangi isu ini boleh mengundang rasa benci rakyat terhadap Pas, demikian kata Ahli Jawatankuasa PAS Mohamed Hanipa Maidin.

"Sekejap Kerajaan Perpaduan, sekejap muzakarah. Sekejap muqabalah. lepas ini apa pula, kita pun tidak tahu," kata beliau menerusi kiriman 'posting' di blog beliau yang bertajuk, 'Hati-hati Pas, jangan sampai rakyat meluat kepada kita.'

Mohamed Hanipa turut mempersoalkan, sikap pimpinan parti tidak mengambil iktibar daripada pengajaran lalu hingga sanggup membangkitkan isu ini, sedangkan pemikiran mereka itu, tambah beliau, adalah lebih baik dimanfaatkan ke arah memperkuat barisan Pakatan Rakyat (PR).

"Saya rasa terpanggil ingin menegur pemimpin Pas tidak kira setinggi mana pun jawatan mereka dalam parti. Biar orang Pas marah saya daripada rakyat marah kepada Pas dan menghukum Pas selepas ini.

"Cukuplah bangkitkan apa sahaja isu yang rakyat boleh hidu bahawa Pas dan Umno cuba nak berbaik. Takkan kita masih tidak kenal Umno? Kerajaan Perpaduan atau muzakarah ke bagi rakyat yang dah meluat dengan Umno.

"Pas dilihat sentiasa memberi nafas kepada Umno jika isu Kerajaan Perpaduan atau muqabalah atau muzakarah dibangkitkan. Meluat rakyat ada hadnya. Jangan sampai Pas berani-berani menghampiri had itu," tambahnya.

Jika rakyat membenci parti, kata Mohamed Hanipa, pimpinan parti dinasihatkan supaya tidak memarahi mereka sebaliknya memarahi diri sendiri.

Terdahulu, dalam kenyataannya, Presiden Pas Abdul Hadi berkata, parti itu sedia bekerjasama dan berbincang dengan Umno dalam setiap hal termasuk yang berkaitan dengan hal politik dan agama.

Abdul Hadi berkata, polisi kerjasama antara Pas dan Umno sama ada melibatkan hal yang boleh dibincang atau sebaliknya bukanlah pertama kali dilakukan kedua-dua parti berkenaan dan ia merupakan polisi berpanjangan dari dulu hingga hari ini.

Sebelum itu, Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya Pas dan Umno duduk semeja, berbincang serta menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu.

Kata Menteri Besar Kelantan itu, Pas adalah sebuah parti yang ditubuhkan oleh alim ulama dalam Umno sendiri dan adalah tidak wajar perseteruan yang ada, terus menerus berlaku.

Comments