Bodoh dan Jahilnya UMNO Mengenai Demokrasi Berparlimen

Umno dan barisan pemudanya sekali lagi menunjukkan kejahilan terhadap amalan demokrasi berparlimen di negara-negara komenwel termasuk Malaysia dan Australia dengan membuat perhimpunan di hadapan Pejabat Pesuruhjaya Tertinggi Australia ke Malaysia baru-baru ini.

Menurut Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, dalam sistem demokrasi berparlimen, Jawatankuasa Kecil atau Jawatankuasa Parlimen adalah jawatankuasa yang ditubuhkan Parlimen dan dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen sendiri yang tidak memegang apa-apa portfolio dan jawatan dalam pentadbiran kerajaan atau eksekutif.

"Selalunya, jawatankuasa-jawatankuasa ini ditubuhkan berdasarkan isu-isu atau portfolio-portfolio pentadbiran sesebuah kerajaan itu dan ia berfungsi sebagai cabang untuk memantau dasar dan pelaksanaan dasar oleh eksekutif selaras dengan semangat pengasingan kuasa antara legislatif (parlimen), eksekutif (pentadbiran) dan 'judiciary' (kehakiman)," kata Lau Weng San dalam suatu kenyataan media di sini, hari ini.

Malah menurut beliau, dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab meneliti sesuatu akta yang dibentangkan oleh eksekutif sebelum ia diluluskan Parlimen.

"Oleh itu dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang, tidak ganjil jika parlimennya mempunyai berpuluh-puluh jawatankuasa sebegini. Maka berasaskan prinsip ini juga, jawatankuasa pilihan tentang Hal Ehwal Luar Negara juga ditubuhkan oleh Parlimen.

"Tugas mereka termasuk menilai dan menegur dasar-dasar luar negeri yang diamalkan kerajaan. Apa yang dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen dari Australia dan Amerika Syarikat ini adalah tugas mereka sebagai ahli dan pengerusi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, Kecil parlimen mereka tentang hal ehwal luar negeri," tegas beliau. 

Beliau berkata, walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan mewarisi tradisi parlimen ala Westminster, Malaysia jarang-jarang menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk memantau hal ehwal pentadbiran kerajaan.

"Apa-apa yang pernah dilakukan Parlimen Malaysia khasnya berkaitan hal ehwal luar negeri ialah penubuhan Kaukus Parlimen Malaysia ke atas Myanmar dengan tujuan mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut politik di Myanmar.

"Jadi, adalah tidak tepat jika dikatakan Malaysia mengamalkan dasar tidak campur tangan di mana dalam kes Myanmar ini, terbukti bahawa Malaysia pernah melakukan sesuatu di peringkat Parlimen terhadap Myanmar.

"Adakah ini dituduh sebagai mencampuri hal ehwal sesebuah negara berdaulat? Jika ya, maka Malaysia juga pernah melakukannya dan tindakan Malaysia menubuhkan Kaukus Parlimen Malaysia terhadap Myanmar adalah betul kerana keadaan Myanmar yang tidak stabil telah mengugat kestabilan politik serta ekonomi serantau," kata Lau lagi. 

Justeru itu, beliau menyeru Pemuda Umno dan pertubuhan-pertubuhan lain yang telah menyertai demonstrasi kelmarin meneliti fakta-fakta sejarah ini supaya tidak malu sendiri.

Kelmarin, Pemuda Umno dan beberapa pertubuhan lain telah mengadakan demontrasi berikutan lebih 50 Ahli Parlimen Australia yang membuat desakan agar menggugurkan pertuduhan konspirasi kedua terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Comments