Umno Makin Gelabah

Kenyataan kebanyakan media bertajuk 'Jangan Menunding Jari Pada Umno' mengejutkan ramai pihak.


Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan tersebut menggambarkan Perdana Menteri sedar bahawa Umno dan Barisan Nasional sedang dibicarakan di mahkamah rakyat dan hal itu telah meletakkan parti Umno tersebut di kandang pesalah.

Menurut beliau, perbicaraan ini memberi gambaran bahawa Umno sudah hilang kepercayaan rakyat.

"Kepada Perdana Menteri, ingin saya nyatakan bahawa rakyat menuding jari kepada Umno dan pemimpinnya kerana sikap pemimpin Umno yang rasis," kata Mahfuz
Menurut Mahfuz, Najib Tun Razak perlu mengimbas kembali peristiwa 22 tahun lalu yang melibatkan beliau sendiri sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan membawa kepada penyalahgunaan ISA.

Antaranya, tambah Mahfuz, kes Operasi Lalang yang menahan pemimpin pembangkang termasuk pimpinan NGO yang menjadi mangsa politik jahat Umno.

"Peristiwa mencium keris oleh bekas Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussien yang mewujudkan sentimen perkauman, peristiwa serangan individu Pemuda UMNO terhadap YB Karpal Singh di Parlimen, peristiwa memijak kepala lembu dan yang terbaru provokasi isu penggunaan kalimah Allah untuk majalah Herald, di mana kenyataan Perdana Menteri dan Datuk Hishammuddin seolah-olah cenderung menggalakkan tindakan tersebut," kata Mahfuz lagi.

Beliau berkata, ketelusan Umno dalam menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah baru-baru ini boleh dipertikaikan sejauhmana keikhlasannya berdasarkan sentimen perkauman yang diwujudkan Umno sendiri.

"Umno ingat, dia boleh gunakan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian untuk politik murahan. Tapi, jelas senjata makan tuan. Rakyat tidak lagi mempercayai Umno. Inilah petanda bahawa Umno dan BN telah kehabisan modal dan kehilangan hak memerintah negara.

"Saya mengajak rakyat berbilang kaum dan agama untuk bersama PAS khasnya dan Pakatan Rakyat (PR) umumnya untuk berjuang bagi memuziumkan Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti," kata beliau.

Beliau juga menyeru parti-parti komponen BN yang lain supaya menyingkirkan Umno daripada BN atau mereka meninggalkan BN untuk bersama PR dalam usaha membawa wajah baru dalam politik Malaysia.

Comments