SPRM Perlu Ambil Pandangan Rakyat

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambilkira pandangan rakyat berhubung kaedah melaporkan aduan rasuah kepada badan tersebut.

"Kita harus sedar bahawa rasuah adalah suatu bentuk jenayah yang luar biasa dan perlu ditangani secara luar biasa. Pendekatan secara monotype tidak akan memberi kesan besar terhadap agenda membanteras rasuah. Kita juga bersetuju, laporan kepada SPRM tidak boleh didedahkan kepada media jika bertujuan untuk mengaibkan pihak lain.

"Namun, laporan kepada SPRM juga boleh didedahkan kepada media jika bertujuan memberi kesedaran pendidikan anti korupsi terhadap masyarakat," kata Pengerusi Gerak Malaysia, Mohd Nazree Mohd Yunus dalam kenyataan medianya baru-baru ini.

Tanbah beliau, kenyataan daripada SPRM sebelum ini yang tidak membenarkan aduan yang dibuat kepada SPRM didedahkan akan menyebabkan rakyat akan bimbang untuk melaporkan kepada SPRM.

Mohd Nazree berkata, walaupun di bawah seksyen 29(4), Akta BPR 1997 telah menyatakan perkara ini, namun adalah wajar SPRM memberi ruang kepada rakyat untuk sedikit sebanyak berkongsi aduan bersama-sama media.

"Untuk tujuan ini, Gerak bersedia memberi pandangan secara menyeluruh kepada SPRM berkaitan pendekatan membanteras rasuah termasuk mengambilkira perspektif pandangan rakyat. Suruhanjaya ini tidak akan berdiri tegak tanpa dokongan rakyat dan media.

"Kita yakin jika SPRM mempunyai pegawai-pegawai yang cekap, mereka mampu menyelesaikan kes-kes rasuah walaupun sudah ada hebahan media sebelum ini. Kita lihat hari ini, kebanyakan kes-kes yang didakwa SPRM ke mahkamah juga adalah hasil daripada hebahan rakyat dan juga media. Kita beranggapan hal ini semua banyak membantu SPRM," tambah Mohd Nazree lagi.

Beliau berkata, kes-kes berprofil tinggi seperti skandal PKFZ, ketirisan pengurusan wang negara melalui laporan Audit Negara, dakwaan salahguna kuasa Setiausaha Politik PM, kes rumah banglo Khir Toyo, kehilangan enjin jet, kes akuan bersumpah Bala dan lain-lain kes lagi adalah wajib ditangani segera oleh SPRM bagi memulihkan imejnya.

"Dalam kes Setiausaha Politik PM misalnya, sehingga hari ini tiada siasatan awal yang dilakukan SPRM walaupun Parlimen telah dimaklumkan dengan dakwaan salahlaku beliau. Perubahan integriti oleh PM akan dilihat gagal jika masih terdapat individu-individu yang tidak bersih berada di sekeliling beliau.

"Kita sambut baik pendakwaan permulaan oleh SPRM dalam kes PKFZ dan kita mahu kes ini dapat diselesaikan sehingga pihak yang benar-benar terlibat dalam skandal rasuah berskala mega dapat didakwa dan diambil tindakan oleh mahkamah," kata Nazree.

Dalam perkembangan lain, Gerak juga mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang tidak bersifat terbuka sehingga menyebabkan anggota keselamatan menahan dua pimpinan mahasiswa dan seorang wartawan Harakahdaily minggu lalu ketika menyampaikan memorandum berhubung bantahan E-Undi.

"Sewajarnya, KPT menerima baik memorandum itu dan memaklumkan anggota keselamatan agar tidak mengganggu rapat umum mahasiswa itu. Bantahan E-Undi oleh para mahasiswa itu wajar diberi pertimbangan dan ruang perbincangan yang serius," katanya.

Menurut beliau, tuduhan Menteri Pengajian Tinggi bahawa kumpulan mahasiswa itu hadir untuk mencari publisiti menjelang pilihan raya kampus adalah dangkal sama sekali.

Comments