Pro-M UMT menang 11 daripada 12 kerusi

Pro-Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (Pro-M UMT) berjaya membentuk 'kerajaan mahasiswa' setelah menumbangkan Pro-Aspirasi Umno (Aspirasi) dalam pilihan raya kampus (PRK) baru-baru ini, dengan menawan 11 daripada 12 kerusi.

"Sejak UMT dinaiktaraf sebagai universiti pada 2007, ini kali pertama dalam sejarah, Pro-Aspirasi tumbang teruk baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan golongan pro mahasiswa sebagai barisan pelajar yang baru dibentuk dalam pilihan raya kampus kali ini.

"Tahniah kepada mereka yang telah menang walaupun ada halangan demi halangan oleh pihak pentadbiran dan tangan ghaib yang tidak bertanggungjawab," kata Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional Mohd Shafie Hashim ketika mengulas PRK di universiti tersebut yang dijalankan pada Ahad lalu.

Kemenangan ini, tambah beliau, membuktikan bahawa perjuangan Pro-Mahasiswa diterima semua mahasiswa dan Pro-Aspirasi semakin hilang pengaruhnya.

"Kemenangan ini adalah gelombang awal sebaik sahaja MiSi-10 dilancarkan Pro-Mahasiswa baru-baru ini," tambah Mohd Shafie lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Pro-Mahasiswa UM berkata, pihaknya akan terus meningkatkan usaha bagi memastikan gelombang kemenangan di UMT ini akan berterusan.

"Gelombang kemenangan ini diharap berterusan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kami jangkakan keputusannya pada 21 Januari depan. Dan, semangatnya terus meresap ke kampus-kampus utama lain yang dijangka pilihan raya mereka berakhir pada hujung Januari ini," kata Mohd Shafie lagi.

Comments