Memo Keganasan Polis Ke Suhakam Isnin Depan

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan membawa suatu memorandum khas berhubung keganasan polis ke atas mahasiswa, Isnin depan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), kata pengerusi badan pelajar itu, Hilman Idham.

"Memorandum itu dihantar ke Suhakam ekoran keganasan polis ketika bertindak kasar dan mengganggu rapat umum anjuran mahasiswa semalam," katanya.

Kelmarin, sekitar 2:45 petang, seorang mahasiswa Mohd shazni Munir Mohd Ithnin bersama seorang wartawan Harakah Daily Zainulfakar Yaacob telah ditahan polis ketika kira-kira 150 mahasiswa berhimpun di depan ibu pejabat Kementerian Pengajian Tinggi.

Perkumpulan pelajar itu berkumpul untuk menyerahkan memorandum kepada kementerian berkenaan untuk mendesak agar perjalanan pilihan raya kampus (PRK) yang dijangka akan dijalankan pada hujung Januari ini berjalan lancar.

Antara lain, memorandum itu mendesak agar pelaksanaan e-undi yang dijalankan oleh pihak universiti itu dimansuhkan segera.

Kedua-dua mereka disoal-siasat lebih selama lebih kurang empat jam di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah Putrajaya atas Seksyen 168, Akta Polis, iaitu menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas. Kedua-dua mereka akhirnya dibebaskan dengan jaminan secara lisan sekitar 6:50 petang.

Comments