Johor Muflis 2012?

Dengan bebanan hutang kerajaan Johor sebanyak RM1 bilion, berkemungkinan besar negeri itu akan muflis menjelang 2012, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Zabiedie Abbas di sini, hari ini.

"Ada laporan audit menyatakan bahawa negeri itu sudah tidak mampu lagi menanggung beban hutang yang besar," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, jumlah wang kerajaan negeri yang tersimpan di dalam bank hanya berjumlah RM37 juta ringgit sahaja.

Selain itu, Zabiedie turut melahirkan kebimbangan, berhubung kemungkinan tanah-tanah di sekitar Johor kini bakal menjadi milik warga Singapura suatu masa nanti.

"Kerajaan Negeri membangunkan kawasan di negeri Johor. Contohnya, pembangunan kawasan seperti di Wilayah Iskandar. Mereka membangunkan rumah kos tinggi yang tidak mampu dibeli oleh penduduk tempatan.

"Kawasan rumah kos tinggi banyak dibeli oleh warga Singapura kerana warga tempatan tidak mampu memiliki rumah bernilai tinggi itu. Hanya kerana Kerajaan negeri mahukan keuntungan, rakyat yang menjadi mangsanya," kata Zabiedie Abbas.

Menurut beliau, kerajaan sememangnya akan meraih kemajuan dengan cara itu, namun rakyat jelas akan tertindas dan sentiasa menjadi mangsa keadaan.

"Masyarakat Melayu Johor akan menerima kesan terbesar hasil daripada pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri Johor.

"Jika rakyat tidak sedar dan masih memberi harapan kepada BN, kita bimbang dengan jangkaan bahawa kerajaan Johor muflis pada 2012 akan menjadi kenyataan. Kita berharap, rakyat Johor menyedari perkara ini," tambah Zabiedie lagi.

Menurut laporan Ketua Audit Negara pada 2008, kecairan tunai kerajaan negeri Johor adalah rendah kerana jumlah Aset Semasa hanyalah berjumlah RM 201.53 (Tunai RM36.37 dan Pelaburan RM165.16 juta) berbanding Tanggungan Semasa berjumlah RM943.54 juta. Dalam kata lain, jumlah Aset Semasa tidak dapat menampung jumlah tanggungan semasa Johor.

Comments