Jerit Menjerit, Ibu Bapa Mengeluh

Walaupun ada dakwaan bahawa banyak faedah diberikan menerusi Bajet 2010 dalam bidang pendidikan, namun masih banyak keluhan ibu bapa terhadap kadar kenaikan yuran pengajian mutakhir ini.

"Di manakah pendidikan percuma yang diuar-uarkan dalam bajet 2008 sebelum ini?" kata jurucakap Sekretariat Jaringan Rakyat Tertindas, (Jerit) Bawani dalam suatu kenyataannya hari ini.

Menurut beliau, sejak bermulanya sesi persekolahan 2010, mula kedengaran pelbagai keluhan ibu bapa yang tidak mampu membayar yuran sekolah.

Tambah beliau, sejak seminggu lalu, Pusat Aduan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menerima ramai ibu bapa mengadu tidak dapat membayar yuran sekolah yang dikatakan mencecah RM100-RM130 bagi seorang pelajar sekolah rendah.

Berikut adalah yuran sekolah bagi seorang pelajar sekolah rendah SRJK (T) bagi sesi 2010.

YURAN
TAHUN 1-3( S’orang)
TAHUN4-6 (S’orang)
ASAS
(termasuk Kokurikulum, Sukan, Insurans Takaful & kertas ujian).

RM24.50
RM24.50
TAMBAHAN
(termasuk buku latihan, buku aktiviti, lencana, yuran PIBG, baju sukan & lain-lain)
> RM70
>RM100
JUMLAH
>RM100.00
>RM130.00

"Bayangkan kalau sebuah keluarga yang mempunyai 3 atau 4 orang anak yang sedang relajar," tambah Bawani.

Tambahnya, yuran sekolah yang dikenakan juga berbeza antara satu sekolah dengan sekolah yang lain.

"Jadi, ada pelajar yang terpaksa membayar yuran lebih daripada pelajar sekolah lain. Pelajar dari keluarga yang miskin pasti terjejas dengan masalah ini. Ada juga ibu bapa yang mengadu tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah kerana tiada duit untuk membeli baju sekolah mahupun membayar tambang bas.

"Selain itu, ramai ibu bapa yang berpendapatan rendah juga merungut kerana beberapa bantuan untuk golongan miskin telah dihentikan tahun ini dengan alasan kerajaan 'tak ada duit'," jelasnya lagi.

Jerit dalam kenyataannya turut menyebut empat perkara berikut:-

a. Skim Bantuan Tuisyen (SBT) untuk murid miskin tidak ada pada tahun ini. Skim itu bertujuan menolong murid miskin untuk mendapat pelajaran tambahan dan guru-guru akan dibayar gaji tambahan. Skim ini telah digugurkan tahun ini.

b. Kumpulan Wang Amanah Relajar Miskin (KWAMP) – status bantuan ini mengelirukan ibu bapa kerana ada sekolah yang tiada langsung bantuan ini, ada sekolah yang masih ada tetapi peruntukan dikurangkan. Permohonan bantuan ini juga bertambah rumit keran ibu bapa terpaksa memohon melalui sistem e-kasih yang baru diperkenalkan.

c. Rancangan Makanan Tahunan (RMT) – peruntukan telah dikurangkan dan bilangan murid yang menerima bantuan ini juga berkurangan.

d. Skim Susu Percuma - para ibu bapa mendakwa bantuan ini juga telah digugurkan tahun ini.

"Sesi permulaan sekolah 2010 telah memberi tamparan hebat kepada kebanyakan ibu bapa yang berpendapatan kurang RM1,000 seperti pekerja kilang, buruh kasar, petani, penoreh getah dan sebagainaya.

"Persoalannya, kenapa sekarang kerajaan mendakwan kekurangan duit? Ke mana perginya keuntungan Petronas dan cukai rakyat yang berjuta-juta ringgit? Betulkah kerajaan 'tak ada duit'?

"Pada September tahun lalu, kerajaan secara rasmi mengumumkan telah membeli dua kapal selam KD TAR berjumlah RM3.4 bilion. Dari mana kerajaan mendapat RM3.4 bilion ini?" kata beliau.

Tambah Bawani, kerajaan membazirkan berbilion-bilion ringgit untuk projek-projek mega seperti Litar F1 Sepang, Mini Putrajaya, Kangar, Perlis, Menara Taming Sari, Melaka, dan banyak lagi.

"Bukan itu sahaja, Putrajaya yang sudah indah, kerajaan mengindahkannya semula dengan lampu-lampu mahal dan bangunan-bangunan baru. Bagaimana kerajaan ada duit untuk perkara ini walhal pendidikan adalah keperluan asas. Mengapa pendidikan dan kebajikan murid yang dikorbankan.

"Lihat negara-negara seperti Cuba, Venezuela, Nepal dan negara-negara sosialis lain yang memberi pendidikan percuma kepada rakyat mereka bermula sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti.

"Venezuela dan Cuba, juga negara pengeluar Petroleum. Negara itu menggunakan keuntungan itu untuk menjaga kebajikan rakyat seperi memberi pendidikan dan kesihatan percuma," kata beliau.

Kata Bawani, laungan slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' tidak memadai.

"Ini masanya kebajikan rakyat harus diutamakan. Jangan gadaian sistem pendidikan negara. Hapuskan segera semua yuran sekolah yang menjadi beban kepada rakyat Malaysia dan laksanakan pendidikan percuma," tambah beliau.

Comments