Dituduh Aspirasi Umno Sebagai Pro-Israel

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) hari ini mencabar pimpinan pelajar Aspirasi Umno agar berani bersemuka dengan mereka untuk mendebatkan tuduhan yang menyamakan badan pelajar Pro-Mahasiswa itu sebagai pro-Israel.

Dalam suatu catatan di dinding Facebook, GMUKM menulis, "GMUKM kesal dengan tindakan pihak yang menggantung 'banner' GMUKM=Pro M=Pro Israel. PEMFITNAH=PENIPU=PENGGANAS. Ini adalah tindakan kurang bijak, kami sedia berdepan dengan mana-mana pihak jika terdapat ketidakpuasan hati dan seumpamanya."

"Pihak GMUKM yang terdiri daripada barisan pelajar seperti Mampu, Kami dan GMLN mengecam sekeras-kerasnya pihak yang menggantung kain rentang itu. Kami sedia berbincang secara ilmiah berkaitan isu ini.

"Kami sedia berdebat dengan mana-mana pihak yang mendakwa kami sedemikian rupa. Sebagai mahasiswa kami sedia berdepan dengan pihak yang melakukan perkara ini. Kami berharap mereka sedia tampil untuk berbincang atas dasar kemahasiswaan," kata GMUKM dalam suatu kenyataan medianya di sini, hari ini.

GMUKM berkata, pihak mereka juga tidak teragak-agak membawa hal itu ke muka pengadilan jika hal ini tidak dapat diselesaikan secara baik, kerana tuduhan itu dianggap sudah keterlaluan.

"Kami sedia berdialog dengan Aspirasi jika mereka anggap GMUKM terus menuding jari kepada mereka. Kami galu-mengalukan perbincangan dua hala antara GMUKM dan Aspirasi," kenyataaan itu dipetik.

Dua hari lalu, sehelai kain rentang digantung di depan pintu masuk Kolej Kediaman Ungku Omar yang melabelkan GMUKM atau Pro Mahasiswa di universiti itu sebagai Pro Israel. Antara lain, kain rentang itu turut menulis bahawa GMUKM sebagai 'pemfitnah', 'penipu', dan 'pengganas'.

"Kami yakin tindakan ini disebabkan oleh ketidakselesaan sesetengah pihak terhadap GMUKM yang mengadakan kempen secara agresif bagi menambat hati mahasiswa sejak minggu lepas," demikian menurut kenyataan GMUKM itu lagi.

Antara sebab lain, tambah kenyataan itu, ialah tindakan GMUKM membuka gerai 'booth' ketika karnival anjuran Kolej Tun Husien Onn untuk bertemu mahasiswa UKM.

"Kami mengadakan 'sudut pidato' pada sebelah petangnya bertujuan memberi penjelasan kepada masyarakat kampus berhubung persiapan menjelang pilihan raya kampus yang datang.

"Kami harap isu ini dapat diselesaikan secara baik dan dapat memurnikan keadaan. Bayangan pimpinan masa depan adalah dengan melihat mahasiswa pada masa sekarang," tambah kenyataan GMUKM itu.

Comments