ADUN dan Ahli Parlimen Sepatutnya Disiasat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan satu pasukan khas memantau dan melakukan kajian menyeluruh berhubung perbelanjaan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen bagi mengelakkan jenayah rasuah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM semalam, tindakan itu diambil berikutan badan terbabit memandang serius terhadap kes pendakwaan baru-baru ini membabitkan penyelewengan peruntukan ADUN dan Ahli Parlimen.

Kebanyakan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Penubuhan pasukan khas yang akan dikendalikan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM itu, dilihat sebagai satu langkah pencegahan terbaik bagi mengatasi masalah terbabit daripada terus berlaku.

Kenyataan media itu turut menyebut, bahawa SPRM juga mengarahkan Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri untuk mengadakan sesi taklimat khas kepada Ahli Parlimen dan ADUN di negeri masing-masing.

Menurutnya, taklimat itu berfungsi untuk membantu dalam menjelaskan kepada mereka berhubung bentuk kesalahan jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang menyalahi undang-undang selain sebagai peringatan agar mereka tidak melakukan semua kesalahan berkenaan.

Comments