UMNO 'Parti Islam' Yang Menghalalkan Rasuah

Umno sebagai 'parti Islam' (kununnya 'parti Islam' mengikut tafsiran Najib) tiada pendirian jelas ke atas penerima rasuah.

Walaupun Najib mengaku bahawa Umno adalah parti Islam, tapi parti tersebut bukan mengambil sumber agama sebagai suatu hukuman yang jelas, khasnya yang berhubung dengan jenayah rasuah ini.

Hadis nabi menyebut bahawa 'perasuah' dan 'penerima rasuah', (ar-Rasyi wal Murtasyi) kedua-duanya berada dalam neraka. Ini bermakna, Islam melihat kedua-duanya adalah penjenayah. Maka, untuk itu, kedua-dua mereka (Rasyi, perasuah dan Murtasyi, penerima rasuah) wajib dihukum.

Tetapi Umno cuma hukum 'perasuah', manakala 'penerima rasuah' tidak dihukum. Di situlah kesilapan Umno. Hukum hakam ekonomi berfatwa, "Di mana ada permintaan, maka di situ ada penawaran." Pasaran industri rasuah ini boleh dikembangkan lagi dengan hukum hakam, fatwa sebegini...

"Di mana ada perasuah, maka di situlah akan ada penerima rasuah, di mana ada permintaan untuk dirasuah, maka di situ juga akan ada penawaran untuk merasuah."

Tetapi, sekali lagi, Umno hanya menghukum perasuah seperti Isa Samad dan mereka tidak menghukum 'penerima rasuah' daripada Isa. Inilah masalah besar 'parti Islam' Umno.

Pada 16 Oktober lalu, ketika Najib berkata, bahawa bahawa Isa Samad itu telah insaf, dan kembali ke pangkal jalan serta tidak mengkhianati parti, para perwakilan itu pun bertepuk tangan dengan gembira, dan raikan dengan penuh rasa terharu bersarang di dada.

Nanti dulu... para perwakilan itu mungkin bertepuk tangan kerana terharu dengan sebab Isa Samad sangat setia kepada partinya.

Tetapi, antara perwakilan itu, ada juga barisan penjenayah yang telah menerima suapan demi suapan sebelum ini. Mereka ini bukan cuma menerima suapan Isa malah menerima suapan daripada calon-calon para pimpinan Umno sebelum ini.

Jadi, ketika para perwakilan Umno bertepuk tangan tatkala Najib berkata Isa telah pun kembali ke ribaan parti, maka penjenayah (penerima rasuah) ini bertepuk tangan kerana gembira. Dan, gembira mereka ini perlu dibedah siasat dalam banyak tafsiran juga.

Para perwakilan (penjenayah - penerima rasuah) yang bertepuk tangan kerana gembira sebab terharu terhadap kesetiaan Isa itu, menghadapi sindrom tahap bengap yang keterlaluan. Bani Murtasyi yang pertama ini perlukan suntikan ilmu, hikmah, kebenaran dan perlu mendidik mereka dengan sabar.

Yang paling 'cerdik' ialah para perwakilan (penjenayah, penerima rasuah) yang gembira kerana Isa (mantan perasuah) telah kembali pangkuan parti rasuah. Mereka ini geliga, amat berkualiti dalam melakukan kejahatan demi kejahatan yang berkesinambungan tanpa titik noktahnya.

Setiap iringan tepuk tangan mereka sungguh dalam maknanya. Mereka tahu perasuah boleh berterusan merasuah dan perasuah adalah sumber wang Umno. Isa, mungkin terus beri wang, projek melimpah-ruah dan mencurah-curah dalam poket, kantung mereka.

Para perwakilan Bani Murtasyi kedua (penjenayah-penerima rasuah) inilah yang mungkin tepuk tangan dengan girang, gembira meraikan kehadiran semula Isa dalam Umno. Mungkin mereka ini yang paling banyak terima habuan rasuah Isa sebelum ini? Bagaimanapun, mereka akan selamat daripada Najib.

Oleh: Ibnu Amir

Comments