PAS Sudah Menang?

Walapun Pilihan raya Kecil Bagan Pinang belum bermula secara sah, nampaknya PAS telah menang dalam pusingan pertama ataupun Pra-PRK Bagan Pinang.

Ia berdasarkan kepada isu calon Umno yang bakal menjadi barah kepada Umno/BN nanti. Rakyat sudah tahu bahawa Umno tidak menemui bakal calon yang betul-betul boleh memenangan parti mereka di situ.

Pastinya proses lobi-melobi sedang hangat berjalan mengikut kem masing-masing untuk meletakkan calon yang mereka senangi.

Sejak dari hari kematian wakil rakyat Umno/Bn di Bagan Pinang lalu sehingga ke tarikh artikel ini ditulis, Umno terus bergelut dengan isu calon yang bakal mereka tampilkan sehingga menyeret mantan Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad campur tangan memberi pandangan secara terbuka berhubung isu calon tersebut. Antara pihak lain yang begitu beriya-iya bercakap soal calon di situ ialah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Hassan Ahmad.

Pengalaman pahit Umno kalah di Permatang Pasir kerana disebabkan meletakkan calon yang tidak bermoral, maka kini semuanya bercakap supaya Umno meletakkan calon yang bersih tidak rasuah ataupun telah disabitkan dengan rasuah.

Soalnya ialah, adakah Umno masih memiliki calon yang bersih dikalangan barisan kepimpinan mereka kecuali saki baki ahli-ahli di peringkat akar umbi yang dijadikan kuda tunggangan mereka semata-mata.

Reaksi dan sokongan begitu kuat terhadap Datuk Mohd Isa Samad, juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang (di mana kawasan DUN Bagan Pinang) berada di dalamnya cuba disekat oleh mereka tertentu supaya terpilih sebagai calon Umno dalam PRK Bagan Pinang nanti.

Umno Bahagian Teluk Kemang hanya yakin hanya Isa Samad saja yang layak serta mampu berdepan dengan calon PAS di situ kerana hubungan rapatnya dengan rakyat tempatan.

Ini bermakna Umno akan menghadapi masalah besar kerana terpaksa membuat keputusan samada mahu menerima pandangan dan kehendak akar umbi Umno di situ ataupun sebaliknya. Apapun keputusan yang bakal di ambil nanti, Umno tetap berada di dalam masalah yang menyukarkan mereka untuk memberi fokus dalam PRK tersebut. Umno kini ibarat, telan mati emak, luah mati bapak.

Jika Isa Samad menjadi calon, ia bermakna Umno redha kepada calon korup yang kini parti tersebut cuba membersihkannnya, sebaliknya jika calon lain yang dipilih Umno bakal menghadapi protes dalaman yang pastinya menguntungkan PAS.

Oleh itu, apa yang terbaik buat Umno masa kini ialah menghayati kata-kata Presiden baru Umno ketika mengulas isu PRK Penanti iaitu PRK hanya membuang masa saja. Jadi inilah masanya Umno membuktikan bahawa kata-kata Presidennya dihayati kerana kemenganan PAS di Bagan Pinang tidak sama sekali akan menjatuhkan kerajaan Umno/Bn Negeri Sembilan.

Jika perkara ini dapat dilakukan, pastinya pekung dan masalah dalaman Umno yang kini kian membarah dapat dikawal dengan lebih sempurna.

Oleh itu, masalah dalaman Umno memilih calon mereka yang bersih di situ telah memberi kemenangan pusingan pertama kepada PAS buat masa kini.

Apa yang PAS perlu lakukan sekarang ialah merangka strategi mendekati pengundi supaya ketakutan Umno kepada kuasa rakyat tersebut dapat dihalakan kepada Umno di situ jika di Kuala Terengganu, PAS boleh merampas kerusi dari Umno dalam PRK yang diadakan awal tahun ini, tidaklah mustahil Bagan Pinang bakal dimenangi oleh PAS di situ.

Oleh: Penulis Tamu

Comments