Antara Raja Dan Rakyat Yang Melawan Kezaliman

Surah itu sengaja dinamakan Al-Kahfi dengan sebab wujudnya kisah pemuda Al-Kahfi walaupun dalam surah tersebut termuat kisah Raja Zulkarnain yang hebat, kisah Khidhir a.s mendidik Musa a.s yang mana kedua-duanya bertaraf nabi.

Kalau dilihat sekali imbas, tentulah jasa Raja Zulkarnain yang lebih besar kerana penguasa yang adil itu telah mengembangkan risalah Tauhid di sebelah Timur dan Barat dengan lebih luas lagi.

Demikian juga, Nabi Musa a.s yang berdakwah terhadap umat Bani Israel yang jauh lebih ramai lagi. Sedangkan Ashabul Kahfi cuma memendam keimanan, memelihara aqidah Tauhid. Manakala, jumlah mereka tidaklah bertambah, sebaliknya kekal seramai tujuh orang sahaja.

Barangkali, mereka itulah 'wira yang sebenar', 'pejuang yang tulen' walaupun Raja Zulkarnain itu kelihatan gagah di sudut pandang mata kita, yang meluaskan empayar Tauhid!

Bagi Raja Zulkarnain, tiada lagi yang perlu ditakutkan. Baginda mempunyai kekuatan tentera, tiada raja lain yang dapat memaksanya agar membuang aqidah Tauhidnya, sebaliknya baginda punya kekuatan untuk mengarahkan penduduk lain memeluk ajaran risalah Tauhid.

Demikian Nabi Musa dan Nabi Khidhir yang masing-masing mereka telah dibekalkan mukjizat membelah lautan, tongkatnya berubah menjadi ular sehingga mengalahkan sihir orang-orang Fir'aun serta ilmu kerohanian, ilmu laduni sehingga mengetahui latarbelakang di sebalik sesuatu peristiwa.

Sedangkan pemuda Al-Kahfi itu tidak dikurniakan kekuatan seperti raja-raja. Mereka juga bukanlah rasul-rasul yang dikurniakan mukjizat untuk menundukkan kezaliman penguasa seperti Musa a.s.

Mereka hanyalah pemuda biasa seperti kita, yang enggan berkompromi dengan kezaliman raja, enggan tunduk kepada sikap kekejaman raja pada zaman mereka. Lalu, mereka melarikan diri, hidup terasing daripada mata manusia.

Ditidurkan selama berapa ratus tahun semata-mata kerana mahu memelihara iman dan kepercayaan yang mereka yakini selama ini. Itu sahaja inti perjuangan mereka. Enggan ditahan, enggan ditangkap dan tidak rela berkompromi dengan kekejaman dasar pemerintahan yang zalim.

Tapi, siapalah yang tahu hal mereka. Bagi Tuhan. Kedudukan mereka di sisiNya sangatlah tinggi.

Ia suatu surah yang sunat dibaca oleh umat Islam dan 'wajib' dibaca oleh mereka yang anti ISA!

Comments