UMNO Tidak Suka Islam Tetapi Suka 'Flip Flop'

Bahananya telah dirasai sekarang oleh masyarakat seluruh dunia termasuk negara kita. Islam yang diperjuang oleh PAS, tidak seperti mana Umno, perjuangan terhadap Islam ialah 'flip flop' ikut suasana dan keadaan. Perjuangannya seperti sumpah-sumpah yang ikut suasana warna dan alam sekeliling.

Kalau suatu tempat itu kuat Islam, mereka akan gunakan Islam banyak sikit. Wanita Umno dan Puteri Umno yang tidak bertudung pun akan pakai tudung. Kita boleh lihat di Manek Urai nanti. Pemimpin Umno yang hipokrit akan menggunakan platform agama untuk meraih keuntungan undi.

Perkara ini pernah berlaku di Pengkalan Pasir sewaktu pilihan raya kecil. Dato' Seri Najib selaku Timbalan Presiden Umno boleh dikatakan setiap waktu ke masjid untuk solat berjemaah di daerah mengundi di Pengkalan Pasir. Tidak berapa lama pula berlaku pilihan raya kecil di Ijok, Selangor, pemimpin Umno berwajah lain pula. Kerana suasana ke-Islaman tidak sekuat di Pengkalan Pasir.

Umno tidak menjadikan Islam sebagai memimpin perjuangannya. Ia menjadikan Islam hanya sebagai kuda tunggangan. Ambil Islam yang untung pada perhitungannya, contohnya zakat. Umno akan bermatian menggunakan agama kerana ia akan dapat menimbunkan duit dalam kantung.

Berkenaan dengan judi, dan arak, hukum hudud Umno buat tidak kisah kerana ia mendatangkan wang. Umno lebih rela mengenakan hukum denda daripada melaksanakan hukum Allah. Ini kerana denda dapat wang, hukum Allah tidak dapat wang. Ini adasar Umno hanya bersandarkan kepada ringgit dan sen sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Sewaktu Dr Mahathir Mohamad memimpin negara dan Umno, atas nasihat pakar-pakar strategi telah melancarkan penerapan nilai-nilai Islam bagi membendung kebangkitan Islam. Beliau sedar arus ini tidak boleh dilawan kalau tidak ia akan hanyut di bawa arus.

Maka beberapa program atas nama penerapan nilai Islam ditubuhkan antaranya mendirikan Universiti Islam Antarabangsa, Takaful, Bank Islam, Kursus Bina Insan. Pada peringkat awal memang nampak hebat dengan adanya Slogan Bersih Cekap Amanah, Kepimpinan Melalui Teladan, mempercepatkan jam selama 30 minit untuk melihat dan mengejar kemajuan.

Sebenarnya projek seperti ini diadakan ialah hendak melambatkan kebangkitan Islam sahaja dan perkara ini bukan menjadi matlamat asas mereka untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh. Ini hanya program politik untuk mengekalkan kuasa dan memperalatkan agama untuk memancing sokongan rakyat.

Kenyataan Dr Mahathir dalam bukunya 'The Malay Dilemma' dalam halaman 15, membuktikan dakwaan ini: "Kerajaan masih lagi melaksanakan projek-projek seperti mendirikan masjid dan balai raya. Pelaksanaan projek ini dijalankan bukan kerana segala kemudahan tesebut difikirkan perlu, tetapi kerana anggapannya yang salah kononnya langkah-langkah ini dapat memancing undi di di dalam pilihan raya yang akan datang."

Apabila Islam tidak memimpin perubahan, kemajuan yang dikejar tidak dapat dan yang dikendung keciciran. Ini dapat dilihat dengan keadaan pencapaian ekonomi bumiputera pada tahun 1970 ialah 2.4 peratus meningkat pada tahun 1990 ialah 19.3 peratus manakala tahun tahun 2000 telah menurun kepada 18.7 peratus.

Tanah rizab Melayu selepas merdeka ada 3 juta hektar pada tahun 1995 hanya ada 1.7 juta hektar. Inilah kemajuan yang tidak dibimbing oleh Islam. Yakinlah bahwa Islam mampu memimpin perubahan di dunia dan di akhirat.

Comments