Streaming TV [Live]


Komuniti

Nuffnang

Monday, 15 June 2009

Sidang Dewan Rakyat Bermula

Dewan Rakyat, yang mula bersidang hari ini akan bermesyuarat selama 10 hari dan menyaksikan pembentangan 10 rang undang-undang untuk bacaan kali kedua sebelum disusuli mesyuarat Dewan Negara antara 6 Julai hingga 14 Julai.

Pembentangan terbabit termasuk pindaan Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan, Rang Undang-Undang Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan Rang Undang-Undang Orang-Orang Papa.

Bacaan kali kedua akta baru pula membabitkan Rang Undang-Undang Makanan Haiwan, Rang Undang-Undang Jawatankuasa Etika Hakim, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Rang Undang-Undang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Perbadanan) (Pengesahan).

Antara lain, perbahasan Rang Undang-Undang Jawatankuasa Etika Hakim dan Rang Undang-Undang Identifikasi DNA yang kini dalam peringkat jawatankuasa dijangka rancak ketika dibahaskan.

Mesyuarat kali ini turut menyaksikan kerusi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (BN-Kepala Batas) dipindah ke Blok E. Kerusi yang beliau duduki di Blok A pada sidang Mac lalu diambil alih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menerajui pucuk pimpinan negara mulai 3 April lalu manakala kerusi lama Najib diisi timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Abdullah pula kini duduk bersebelahan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting (BN-Kulai) dan pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).

0 comments: