Sekadar Lulus?

Adalah tidak adil untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai syarat untuk kelulusan SPM, terutama sekiranya ia dilakukan sebelum guru-guru bahasa Inggeris yang cukup dan terlatih disediakan.

Melaksanakannya secara tergesa-gesa tanpa rancangan tersusun akan mengorbankan nasib penuntut-penuntut dari kawasan termundur di desa dan bandar untuk lulus SPM dan untuk seterusnya mendapat pekerjaan sesuai.

Kami percaya bahawa pelajaran bahasa Inggeris adalah baik bahkan penting bagi penuntut-penuntut untuk masa depan mereka dan juga negara.

Bahkan kami berpendapat perlu juga diberi peluang serta kemudahan untuk penuntut-penuntut kita mempelajari bahasa-bahasa untama lain dalam dunia.

Akan tetapi kami tidak menyetujui dan menolak dasar mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sebagai cara untuk mempertingkat mutu bahasa Inggeris para penuntut.

Cara terbaik untuk menaikkan taraf bahasa Inggeris di kalangan para penuntut ialah dengan mengajar bahasa itu di sekolah-sekolah. Berkaitan isu bahasa Inggeris dengan SPM, kami ingin mencadangkan satu alternatif.

Kelulusan bahasa Inggeris tidak harus dijadikan syarat bagi kelulusan SPM. Pada masa sama perlu diadakan peluang baik serta kemudahan sempurna untuk semua penuntut mempelajari bahasa Inggeris.

Sebuah badan hendaklah ditubuhkan bagi menyelenggara peperiksaan serta pemberian sijil kelulusan bahasa Inggeris. Mereka yang mendapat sijil itu mencapai satu kelulusan tambahan bonus bagi mereka. Peperiksaan SPM diteruskan.

Kelulusan dan penggeredan (grading) yang dicapai tidak akan tertakluk kepada atau terjejas oleh kelulusan dalam bahasa Inggeris itu. Tegasnya hendaklah diasingkan soal bahasa Inggeris itu daripada soal SPM. Lulus bahasa Inggeris bukanlah menjadi syarat bagi lulus SPM.

Sumber: Harakahdaily

Comments