Sedia Gempur Untuk Manek Urai

Biar pun lebih sebulan lagi tarikh pilihan raya kecil Dun Manek Urai, namun ahli dan penyokong PAS di peringkat akar umbi sudah memulakan persiapan kempen.


Bendera-bendera parti mulai kelihatan di kawasan pilihan raya.


Kerancakan gerak kerja itu dapat dilihat di Kampung Peria, Manek Urai Baru, Lata Rek, Chuchuh Puteri dan Laloh.


Bendera bulan purnama dipasang di kiri kanan jalan Kuala Krai Gua Musang. Malah pos-pos sudah dibina atas inisiatif penduduk.


Manakala bendera dacing hanya kelihatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru tempat berlangsung program pemimpin bersama rakyat yang dihadiri Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustapa Mohamad baru-baru ini.


Di Kampung Peria penduduk memasang bendera di waktu siang hari Jumaat lalu tanpa menghiraukan panas terik matahari.


Di Kampung Chatel, peti undi Lata Rek ahli-ahli dan penyokong PAS sudah sibuk mendirikan markas dan pos pilihan raya.


Ketika tinjauan Sabtu lalu penduduk kampung terbabit keluar beramai-ramai mendirikan sebuah pos berhampiran jambatan.


Veteran PAS di kampung terbabit, Mohamad Bedul, 59 berkata, penduduk tidak sabar lagi untuk menghadapi pilihan raya pada 14 Julai depan.


"Sebab itulah hari ini mereka sanggup keluar beramai-ramai membina pos di kepala jambatan Chatel.


"Kebetulan pula malam tadi hujan lebat, ini menyebabkan penduduk tidak dapat keluar menoreh getah. Jadi mereka datang bergotong royong membina pos biar pun tarikh pilihan raya lambat lagi," katanya di sini.


Seorang peniaga, Che Din Mustapa, 44 berkata semangat penduduk di kampung tersebut bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai berada di tahap yang tinggi.


Katanya, mereka akan bekerja keras untuk memastikan Manek Urai tidak terlepas ke tangan BN.


"Tidak hairanlah sebaik sahaja diumumkan pilihan raya kecil diadakan mereka sudah menyusun gerak kerja," katanya.


Ketua Cawangan PAS Chatel Luar, Abdullah Zaidi Omar, 33 berkata, peti undi Lata Rek mencatat jumlah majoriti yang paling tinggi di Dun Manek Urai pada pilihan raya umum lalu.


Katanya, Lata Rek menyumbang hampir 70 peratus jumlah undi kepada calon PAS pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya faktor pengaruh agama yang masih kuat berakar umbi di kalangan penduduk menyebabkan Umno sukar menembusi kampung tersebut sehingga sekarang.


Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, penduduk tidak sabar lagi memulakan gerak kerja kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai.


Katanya, hampir setiap hari ada penduduk menemuinya bagi mendapatkan bendera untuk dipasang di kampung mereka.


"Hasil desakan penduduk menyebabkan beberapa markas dan pos dibina lebih awal oleh mereka. Bilik gerakan juga sudah dibuka di beberapa tempat termasuk di Kampung Chuchuh Puteri.


"Sebenarnya gerak kerja sepenuhnya akan dilakukan selepas muktamar ini," katanya.


Umno pula sudah turun naik rumah penduduk di beberapa kampung termasuk Manek Urai Lama, Chuchuh Puteri dan Lela Jasa.


Sumber: Harakahdaily

Comments